BANGKOK 29 Sept. – Thailand hari ini menyatakan untuk mempertimbang untuk menarik balik perintah darurat di tiga wilayah timur laut negara ini melainkan Bangkok, lokasi di mana beberapa letupan kecil berlaku beberapa minggu kebelakangan ini.

Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban berkata, pegawai keselamatan sedang menilai situasi di tiga kubu kuat Baju Merah iaitu Nakhon Ratchasima, Khon Kaen, dan Udon Thani bagi meneliti sama ada dekri boleh dikeluarkan untuk menarik balik perintah darurat.
“Perintah darurat mungkin akan ditarik balik di wilayah-wilayah timur laut itu, tetapi kita perlu menilai situasinya dulu,” katanya kepada wartawan.

Tujuh daerah termasuk Bangkok masih diletakkan di bawah perintah darurat, yang dikuatkuasakan di ibu negara awal April lalu sebagai respons kepada perhimpunan antikerajaan Baju Merah yang mengakibatkan 91 maut dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan tentera.
Beberapa minggu lalu, siri letupan bom tangan menggegarkan ibu negara Thailand ini, menimbulkan keraguan tentang bilakah perintah darurat boleh ditarik balik di Bangkok.

Dalam satu kejadian terbaru, sebutir bom tangan dilempar ke kawasan pejabat Peguam Negara pagi semalam, namun ia tidak menyebabkan kecederaan. Jumaat lalu, tiga cedera apabila sebutir bom kecil di dalam tong sampah meletup di sebuah kawasan kejiranan.

Baju Merah menolak pembabitan mereka dalam letupan berkenaan dan menuduh kerajaan sengaja mewujudkan konspirasi untuk menunjukkan kemampuan pihak berkuasa.

Suthep yang bertanggungjawab menyelia hal ehwal keselamatan negara turut mengenepikan dakwaan mengatakan kerajaan menggunakan kuasa bagi menyekat ahli politik pembangkang.

P/S : Ketidakstabilan politik yang serius dapat menyebabkan pergolakan yang boleh melumpuhkan sistem sesuatu negara. Boleh bayangkan bagaimana MALAYSIA akan menghadapinya..?? Pertelagahan antara kaum/fahaman harus dibendung dari awal sebelum ia menjadi barah dan tidak dapat dikawal dek dimanipulasikan oleh pihak berkepentingan..fikir-fikirlah~