KUALA LUMPUR 30 sept – PDRM telah membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung kes seorang paderi yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana boleh menggugat ketenteraman kaum.

Pihaknya telah mengarahkan polis Sarawak mengambil tindakan sewajarnya, ujar beliau sebagaimana dilaporkan akhbar Utusan Malaysia.

‘Kita telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan paderi terbabit dan ia dikendalikan oleh polis Sarawak untuk siasatan di bawah Akta Hasutan,’ kata Datuk Seri Mohd Bakri kepada akhbar itu.

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata kelmarin polis telah diarah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat tindakan paderi itu.

Beliau berkata ceramah yang dimuat naik ke laman web YouTube itu satu tindakan biadab dan boleh menggugat keharmonian kaum di Malaysia.

Beliau telah meminta polis merujuk kepada pejabat Peguam Negara bagi merangka tindakan yang boleh diambil terhadap paderi terbabit.

Akhbar telah melaporkan pendedahan presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Encik Zainol Abideen, mengenai tindakan paderi itu, Encik Benjamin Stephen, yang didakwa menghina agama Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.

Encik Zainol dalam blognya http://mahaguru58.blogspot.com meminta pihak berkuasa Malaysia bertindak mengenai perkara tersebut, lapor Utusan Malaysia.

SKMM juga telah diarah membuat siasatan segera berhubung klip video itu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata bahawa beliau telah mengarahkan SKMM merekod perkara-perkara perlu, seperti masa penyiaran, kandungan suara dan simbol yang dikeluarkan oleh paderi tersebut dalam klip video tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pula berkata bukti kukuh penting untuk menghadapkan paderi berkenaan ke muka pengadilan kerana ‘kita tidak mahu ada benda penting yang tercicir supaya paderi berkenaan akan dapat disabitkan dengan kesalahan serta menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya bersama-sama menjaga sensitiviti agama’.