YALA 7 Okt. – Sekumpulan lelaki disyaki militan menembak mati sekurang-kurangnya lima penduduk awam dalam kejadian serangan di seluruh wilayah selatan Thailand yang dilanda bermasalah.

Dalam kejadian petang kelmarin di Yala, seorang lelaki Islam berusia 33 tahun ditembak mati ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari satu majlis. Mangsa mati di tempat kejadian.

Sementara itu dalam kejadian lain pada waktu yang sama, seorang penduduk lelaki berusia 43 tahun yang juga ketua pentadbiran tempatan ditembak mati di rumahnya di wilayah Pattani.
Juga di Pattani, tiga penduduk Buddha terbunuh ketika dalam perjalanan menghantar bekalan ayam ke sebuah rumah penyembelihan pada malam kelmarin.

Keganasan baru di wilayah paling selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia itu berlaku ketika seorang komander baru mengambil alih tugas dalam pasukan bersenjata Thailand yang ditempatkan di sempadan.

Lebih 4,300 penduduk, kebanyakan adalah penduduk awam dan kakitangan keselamatan dibunuh di wilayah dengan majoriti penduduk Islam itu sejak kebangkitan pemisah yang tercetus kira-kira enam tahun lalu.