BANGKOK 11 Okt. – Beribu-ribu aktivis antikerajaan Thailand berhimpun di Bangkok semalam bagi menuntut pembebasan penunjuk perasaan yang ditahan kerana peranan mereka dalam demonstrasi dan pertempuran berdarah dengan pihak tentera.

Kumpulan ‘Baju Merah’ berarak dari persimpangan Ratchaprasong ke Tugu Demokrasi, kawasan di mana 91 orang daripada kedua-dua pihak terbunuh dan hampir 2,000 cedera pada pertempuran April dan Mei lalu, kejadian ganas yang menandakan keganasan politik paling buruk dalam sejarah moden negara berkenaan.

Ia adalah perhimpunan kedua terbesar sejak 19 September lalu, apabila sekurang-kurangnya 10,000 orang berkumpul, yang hampir memberi kuasa kuat kepada sebuah pergerakan yang boleh menghalang usaha menamatkan krisis politik lima tahun di Thailand.

Perhimpunan itu berlangsung di beberapa tempat di mana kira-kira 175 orang ditahan kerana terbabit dalam bantahan, pertempuran dan keganasan. Antara mereka yang ditahan termasuk 20 pemimpin Baju Merah.

Perhimpunan semalam berlangsung tanpa keganasan dan nampak seolah-olah tiada pemimpin yang ketara, tanpa pentas atau pembesar suara, yang diharamkan di bawah undang-undang keselamatan. Polis antikeganasan mengepung kawasan itu ketika kira-kira 7,000 orang sedang berkumpul, menurut anggaran polis.

Penunjuk perasaan mengedarkan gambar dan cakera padat pertempuran maut dengan tentera dan mengikat riben merah pada pokok. Mereka bercadang untuk menyalakan 20,000 lilin bagi mengingati penunjuk perasaan yang terkorban dalam demonstrasi selama 10 minggu di Bangkok.

Penunjuk perasaan itu, kebanyakannya menyokong bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra, berkata demokrasi dan badan kehakiman dicemari pihak yang ditentang mereka dan mendesak agar diadakan pilihan raya segera.

Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva enggan mengadakan pilihan raya sehingga keamanan dicapai.

Bangkok dan kawasan sekitarnya menyaksikan 16 pengeboman kecil sejak bantahan berakhir 19 Mei lalu tetapi satu letupan kuat di pinggir bandar raya Selasa lalu, yang mengorbankan empat orang dan mencederakan sembilan orang, menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku lagi kejadian ganas oleh kumpulan radikal antikerajaan.