Belut atau nama saintifiknya Monopterus Albus termasuk kategori ikan dan berbentuk panjang dengan kepalanya yang bulat dan berinsang. Sungguhpun ramai yang tidak “sudi” makan belut, tetapi diakui, hidupan air tawar ini kaya dengan pelbagai khasiat.

Spesies belut mempunyai nilai pemakanan yang tinggi. Khasiatnya dikatakan setanding ikan tenggiri dan selar, mengandungi 18.6 peratus protein dan 15 peratus lemak.

Belut juga kaya dengan lemak, kalsium, vitamin B, Vitamin D dan zat besi.

Tidak hairanlah ramai yang percaya belut boleh membantu mengubati penyakit seperti buah pinggang, lelah, darah gemuruh, lemah tenaga batin dan penyembuhan luka pembedahan.

Spesies ikan ini jika diamalkan memakannya selalu, dikatakan boleh menguatkan daya tahan tubuh, menormalkan tekanan darah, menghaluskan kulit, mencegah penyakit mata, menguatkan daya ingatan dan membantu mencegah hepatitis.

Belut yang ditangkap lebih mahal
Walaupun tidak ada yang menternaknya secara komersil seperti ternakan ikan keli, belut tetap menjanjikan pulangan yang lumayan kepada penjualnya.

Bahkan, sehingga kini Rosli belum pernah menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan belut. Menurut beliau, restorannya memerlukan bekalan 15 hingga 20 kilogram belut sehari, dan pembekal tidak pernah gagal memenuhi keperluan tersebut.

Bagaimanapun, harga belut yang ditangkap lebih mahal berbanding belut yang diternak. Dikatakan belut liar lebih banyak khasiatnya kerana haiwan tersebut hidup di dalam air tawar dan habitat semulajadi.

Harganya boleh mencecah RM8.00 hingga RM11.00 sekilogram dan meningkat hingga ke RM14.00 sekilogram pada musim hujan. Manakala belut yang dibela harganya adalah RM6.00 hingga RM7.00 sekilogram.

Zaman dahulu, orang yang makan belut dianggap terlalu miskin hinggakan belut pun dibawa balik. Sedangkan hari ini, hidangan belut terutamanya sup belut sukar didapati dan harganya pula lebih mahal daripada sup biasa.

Dek kerana ramai yang telah menyedari khasiat istimewa belut, tidak hairanlah harganya meningkat di pasaran.

Malah, Rosli juga pernah beberapa kali mengikut pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyertai pelbagai promosi yang melibatkan promosi hidangan belut ke seluruh Malaysia. BERNAMA