PATTANI – Seorang guru agama, 32, telah terkorban dalam kejadian tembakan dalam sebuah masjid di wilayah Pattani, selatan Thailand semalam.

Polis menjelaskan bahawa serangan itu berlaku ketika jemaah berada dalam masjid yang tiba-tiba dimasuki oleh dua orang tidak dikenali sambil melepaskan tembakan ke arah guru berkenaan. Sumber yang dipetik dari Reuters menjelaskan bahawa motif penyerang melepaskan tembakan ke arah guru berkenaan masih belum dipastikan. Kini, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

Kejadian ini mengulangi insiden pada Jun 2009 lalu yang telah mengorbankan seramai 10 orang jemaah yang sedang solat melalui serangan bersenjata oleh sekumpulan manusia bertopeng di wilayah Narathiwat, selatan Thailand.

Setakat ini, angka korban penduduk Islam di wilayah berkenaan telah mencapai seramai empat ribu orang sejak tahun 2004. Kerajaan Thailand telah dikritik keras berhubung isu pihak berkuasa yang menngunakan elemen kekerasan dalam insiden di Tak Bai bagi menangani pergolakan di wilayah berkenaan.