Juara Piala Monsun dan World Match Racing Tour (WMRT), musim lalu, pasukan Black Match Racing dari New Zealand berazam mengekalkan kejuaraan mereka sekali lagi pada tahun ini.


Jurumudinya, Adam Minoprioyang yang membuat penampilan lima tahun berturut-turut di Piala Monsun sejak 2006 adalah muka yang tidak asing lagi dengan gelanggang pertandingan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu dan yakin dapat memastikan gelaran terus kekal menjadi miliknya.

“Sebab itu saya bersama krew datang ke bandar Kuala Terengganu lebih awal untuk mencari ketenangan supaya matlamat memburu kejuaraan bagi kali kedua mencapai matlamatnya,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu, petang semalam.

Malah, latihan memanas badan di Kejohanan Kapal Layar Piala Sultan Selangor dan beberapa pertandingan lain termasuk di negaranya sendiri menjadi bekalan memastikannya tidak gentar memburu gelaran dua edisi berturut-turut.

Pada masa sama, Adam mengakui tidak memandang rendah cabaran Datuk Peter Gilmour dari pasukan Yanmar Racing yang merekodkan dua kali kemenangan Piala Monsun dan empat kali Piala Dunia.