Kaunter pendaftaran untuk Karnival Memancing Piala Monsun anjuran Berita Harian di Pulau Warisan, di Kuala Terengganu diserbu kaki pancing sebaik dibuka jam 3 petang semalam, sekali gus menunjukkan sambutan luar biasa diterima pertandingan itu yang menawarkan hadiah keseluruhan RM80,000.

Pertandingan sempena Kejohanan Piala Monsun 2010 itu turut menarik perhatian kaki pancing dari luar negara seperti Thailand dan Indonesia selain peserta tempatan.

Tinjauan mendapati proses pendaftaran pertandingan yang turut ditaja syarikat TCE Tackles dan Adabi itu berjalan lancar dan terus dibuka hingga jam 10 pagi ini.

Seorang peserta, Musttapa Mohamad, 40, dari Batu Burok, di sini berkata dia sudah beberapa kali menyertai pertandingan memancing anjuran Berita Harian termasuk Grand Prix (GP) Joran di Pantai Teluk Lipat, pada 9 Oktober lalu, tetapi kali pertama sempena Piala Monsun dan berharap dapat membawa pulang hadiah lumayan ditawarkan.

Sementara itu, Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah, berkata penganjur juga menyediakan 1,500 baju T yang dicetak dengan logo Kejohanan Piala Monsun untuk peserta yang mendaftar awal dan bagi memeriahkan pertandingan, turut mengadakan pameran bot laju, motosikal lasak dan motosikal berkuasa besar.

“Syarikat TCE Tackles juga mengadakan promosi jualan pelbagai peralatan memancing pada harga berpatutan manakala Adabi turut mengagihkan minuman kopi Tongkat Ali keluaran syarikat itu kepada peserta,” katanya.

Hadiah wang tunai ditawarkan bagi juara RM30,000, kedua (RM15,000), ketiga (RM10,000), ke empat hingga 10 (RM500), ke-11 hingga 20 (RM300), ke-21 hingga 30 (RM200), ke-31 hingga 40 (RM100) dan ke-41 hingga 60 (RM50) bersama hadiah iringan serta dua motosikal Modenas Kriss dalam acara cabutan bertuah.

Peserta akan turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan keroncong serta irama lagu era 60-an hingga pertandingan berakhir.