Kerajaan negeri Terengganu menafikan laporan beberapa media tempatan hari ini yang menyebut air Tasik Kenyir dicemari bakteria E-Coli.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Rahin Mohd Said berkata laporan tersebut yang memetik beliau itu mengelirukan dan tidak tepat.

“Apa yang ditulis itu tidak betul dan saya tidak pernah kata begitu,” katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu. Rahin dilaporkan berkata demikian dalam sidang media sempena pertandingan memancing Kenyir Cup 2010 di Pengkalan Gawi kelmarin.

Menurutnya, keadaan itu berlaku akibat pembuangan sisa kumbahan dan air buangan oleh pengusaha rumah bot atau rumah tumpangan terapung yang menjadikan tasik buatan itu sebagai lokasi mencari rezeki.

Rahin berkata laporan begitu boleh menjejas industri pelancongan negeri.

Laporan sebuah akhbar kelmarin menyebut, kerajaan negeri mengesahkan air Tasik Kenyir dicemari bakteria E-Coli dan berada pada tahap membimbangkan berikutan pembuangan sisa kumbahan daripada rumah bot.

Abdul Rahin kelmarin dipetik sebagai berkata kajian dilakukan saintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapati berlaku peningkatan mendadak bakteria E-Coli dalam air tasik itu. Katanya, jika tiada usaha dilakukan bagi mengawal keadaan itu, ia akan menjejaskan mutu air dan hidupan di tasik itu.

Beliau semalam menjelaskan, bakteria E-Coli biasanya berada dalam kawasan yang sempit dan kualiti airnya sedikit serta tercemar dengan najis.

Sedangkan Tasik Kenyir luas dan airnya bermutu tinggi dan menjadi sumber air mineral dan dibekalkan kepada orang ramai, katanya.

Abdul Rahin (belakang) melihat sistem tandas yang diubah suai di rumah bot Pangkalan Gawi, Kuala Berang, kelmarin