Karnival Jalur Lebar 1Malaysia, yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Kuala Terengganu, dijangka meningkatkan penembusan Jalur Lebar di kawasan Pantai Timur.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dijadual merasmikan karnival itu pada petang ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor berkata jumlah pelanggan luar bandar terutamanya di kawasan Pantai Timur masih sedikit walaupun ada pelbagai perkhidmatan jalur lebar ditawarkan.

“Menerusi karnival ini kita harap jumlah pelanggan di kawasan luar bandar dan pedalaman akan meningkat. Setakat ini kadar penembusan jalur lebar isi rumah di seluruh negara pada 1 Dis lalu telah mencapai 54.9 peratus.

“Ia melebihi sasaran yang diletakkan iaitu sebanyak 50 peratus atau 3.2 juta penembusan Jalur Lebar isi rumah menjelang penghujung 2010,” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam yang turut dihadiri personaliti Skuad BB (Broadband) Jehan Miskin dan Nurul Wahab.

Karnival Jalur Lebar 1Malaysia merupakan satu daripada aktiviti utama di bawah Program Kesedaran dan Promosi Jalur Lebar Kebangsaan anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Karnival itu yang akan berlangsung di Pulau Warisan, di Kuala Terengganu, bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Hari ini karnival ini akan diadakan dari 2 petang hingga 6 petang manakala Jumaat dan Sabtu dari 10 pagi hingga 6 petang.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata pelbagai acara interaktif dan informatif bertujuan mendidik, memberi maklumat dan mempromosi penggunaan jalur lebar dan dunia ICT disediakan pada sepanjang karnival itu.

“Syarikat-syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia (TM), Maxis, Celcom dan DiGi, penyedia perkhidmatan internet serta jabatan kerajaan yang berkaitan akan menyertai karnival itu,” katanya.

Penganjur mensasarkan lebih 10,000 pengunjung yang akan memeriahkan karnival tersebut.