Tarian Mak Yong yang dipersembahkan di Temasya Pantai Timur sempena pelancaran Karnival Jalur Lebar 1Malaysia di Taman Budaya, Kuala Ibai, Kuala Terengganu, kelmarin

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kelmarin, sebanyak 125 kampung di Terengganu akan dibekalkan perkhidmatan melayari Internet tanpa wayar secara percuma melalui program ‘Kampung Wifi’ bermula tahun depan.

Selain Terengganu, sebanyak 115 kampung di Pahang dan 110 di Kelantan akan mendapat kemudahan sama.

“Kementerian kini mengadakan perbincangan dengan negeri-negeri terlibat kerana program ini memerlukan kos yang banyak. Setakat ini, lapan buah Kampung Wifi diwujudkan di seluruh negara,” katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau sebelum itu secara bersama dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said merasmikan Temasya Pantai Timur yang melibatkan tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang di Taman Budaya Kuala Ibai.

Kedua-dua pemimpin itu turut melancarkan Karnival Jalur Lebar 1Malaysia yang berlangsung di Pulau Warisan, dekat Kuala Terengganu.

Turut hadir, pengarah dan ketua-ketua jabatan serta agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Terengganu.

Rais berkata kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 3,100 Kampung Wifi di seluruh negara menjelang 2014.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kadar penembusan jalur lebar isi rumah seluruh negara kini sebanyak 54.5 peratus, manakala di Terengganu jumlahnya mencecah 49 peratus.

“Ia satu perkembangan yang menggalakkan dan progresif memandangkan penggunaannya jalur lebar kini tidak terhad di kawasan bandar sahaja,” katanya.

Karnival Jalur Lebar 1Malaysia merupakan satu daripada aktiviti utama di bawah Program Kesedaran dan Promosi Jalur Lebar Kebangsaan anjuran kementerian berkenaan.

Karnival itu berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini.

Pelbagai acara interaktif dan informatif bertujuan mendidik, memberi maklumat dan mempromosi penggunaan jalur lebar dan dunia ICT disediakan sepanjang karnival berlangsung.

Syarikat-syarikat telekomunikasi seperti TM, Maxis, Celcom dan DiGi, penyedia perkhidmatan internet serta jabatan kerajaan yang berkaitan akan menyertai karnival tersebut.

Penganjur menyasarkan lebih 10,000 pengunjung yang akan memeriahkan karnival itu.

Sementara itu, Temasya Pantai Timur mencatat sejarah tersendiri apabila persembahan gendang tradisional sempena majlis perasmiannya hari ini direkodkan dalam The Malaysia Book of Records sebagai persembahan gendang teramai yang pernah diadakan.

Pada persembahan tersebut, seramai 780 pemain gendang yang melibatkan tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang menunjukkan persembahan mantap dengan menggabungkan gendang pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, dan India.

Persembahan itu dijayakan di bawah pimpinan ahli muzik terkenal, Rosli Selasih.

Difahamkan, persembahan tersebut telah berjaya mengatasi rekod persembahan gendang tradisional sebelum ini yang melibatkan seramai 400 peserta.

Pada acara tersebut, ketiga-tiga buah negeri mempamerkan persembahan mewakili negeri masing-masing dengan Terengganu mempersembahkan permainan gendang Melayu, Cina, Orang Asli, India dan Siam.

Pahang pula mempersembahkan gendang 24 musim yang mewakili masyarakat Cina serta gendang Orang Asli.

Kelantan pula menampilkan persembahan rebana ubi, kertuk, kercing, gendang silat, dikir barat, wayang kulit dan mak yong.

Pada temasya tersebut, pelbagai pertunjukan kebudayaan dipersembahkan dengan tarian dan nyanyian tradisional negeri masing-masing yang diberi sentuhan moden sejajar dengan konsep 1Malaysia.