Nurul Dahyatul serta ibu pada pelancaran tabung kelmarin

Kementerian Pelajaran Khamis melancarkan penubuhan Tabung Ehsan Kembali ke Sekolah, bagi membantu persekolahan Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 8, kanak-kanak mangsa simbahan asid bapanya.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata penubuhan tabung itu bagi membantu Nurul Dahyatul Fazlinda dan keluarganya yang miskin membuat persiapan persekolahan Januari depan serta menampung keperluan seharian.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan RM10,000 kepada kanak-kanak itu di Kuala Terengganu. Turut hadir ialah ibu kanak-kanak berkenaan, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28.

Mohd Puad berkata dengan penubuhan tabung itu, beliau berharap orang ramai dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga berkenaan dengan menghubungi Pejabat Pelajaran Negeri Terengganu.

Mengenai rawatan untuk memulihkan kembali wajah kanak-kanak itu yang cedera dan mengalami parut kekal, beliau berkata rawatan itu boleh dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini yang turut mempunyai kepakaran dalam bidang pembedahan plastik.

“Apabila dia menjalani rawatan (bedah plastik) di hospital kerajaan, ia tidak melibatkan perbelanjaan. Bagaimanapun jika kena bayar, kerajaan negeri akan membiayainya,” katanya.

Mohd Puad juga meminta pihak sekolah memberi motivasi dan kaunseling kepada Nurul Dahyatul Fazlinda serta keluarganya bagi mengembalikan semangat mereka.

Nurul Dahyatul Fazlinda mengalami cedera parah di muka dan badan dalam kejadian akibat perbuatan bapanya sendiri pada 15 Ogos lepas. Turut cedera ibu dan adik lelakinya Irfan Firdaus, 2.

Sementara itu, Che Ku Zaimah melahirkan rasa syukur kerana keluarganya diberi perhatian dan dibantu kerajaan.
“Saya harap anak-anak saya pulih seperti sedia kala setelah menjalani rawatan nanti. Sekarang anak saya (Nurul Dahyatul Fazlinda) menerima rawatan susulan sebulan sekali di HSNZ,” katanya.