Inisiatif Kerajaan Terengganu yang merintis penggunaan papan digital elektronik, e-Book kian mendapat perhatian dunia dan menjadi model negara asing untuk turut sama melaksanakan sistem itu di negara mereka.

Terbaru, perkembangan yang menjadi kebanggaan Terengganu khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berikutan kertas projek eBook dijadikan agenda utama dan menarik perhatian peserta di kalangan menteri dalam Persidangan Antarabangsa ICT Sudan 2010 pada 28 dan 29 November lalu.

Pengarah Eksekutif Top IT, Mohd Isa Nik bertindak membentangkan kertas bertajuk, `Generation Creation in ICT-eBook’ di depan para menteri dan perwakilan dari beberapa negara termasuk Arab Saudi, Mesir Iraq dan negara Afrika yang lain.

Antara ahli panel yang terlibat Dr Amir Khalaf Hussain (Iraq) yang membentangkan kertas bertajuk ‘Digital Signature and Democracy’, Dr Salem Alzoubi (Egypt) ‘ESCWA Experince’, Dr Nasreen Bashir (Syria) ‘Evalution of Quality in use of M-Government Systems’ dan Prof Hideki Igarashi (Jepun) dengan pembentangan `Data Centre Solution’.

Hasil pembentangan Mohd Isa menarik minat kerajaan Sudan dan negara Afrika yang lain untuk melihat lebih dekat inisiatif kerajaan negeri mengaplikasikan penggunaan IT yang banyak mempengaruhi kemajuan pendidikan di Terengganu.

Malah, Menteri ICT Sudan, Dr Yahia Abdallah, pengarah ICT Sudan, Drt Izzeldin Amin dan Ketua NCCD Sudan, Prof Mustaffa O Nawari menemui Mohd Isa untuk mengetahui projek eBook dan konsep peperiksaan t-Score di Terengganu.

Menteri ICT Sudan berjanji untuk menghantar e-mail secara peribadi kepada Top IT bagi merintis jalan ke arah pelaksanaan program serupa di Sudan, selain wakil Sudan, Prof Mustaffa bakal berkunjung ke Terengganu bagi melihat sendiri kejayaan sistem itu pada Januari ini.

Sudan yang terletak di Afrika mempunyai penduduk 60 juta penduduk begitu komited bagi menjadikan negara mereka sebagai negara maju dalam bidang IT di peringkat dunia.

Komitmen mereka terhadap sektor itu dapat dilihat menerusi keseluruhan struktur organisasi kementerian ICT negara itu yang didukung pakar akademik yang memiliki PhD dalam bidang berkenaan.