Dua anggota bomba dan penyelamat melihat keadaan ombak yang kuat dan sukar untuk mencari mangsa yang lemas dalam kejadian di Pantai Pandak, Cendering, Kuala Terengganu, semalam - Gambar Utusan

Keriangan enam bersaudara mandi manda di Pantai Pandak, Chendering Kuala Terennganu kelmarin bertukar tragedi apabila dua daripadanya lemas, seorang kritikal manakala tiga lagi masih hilang.

Mangsa yang mati lemas dikenali sebagai S. Kumuda, 28 dan adiknya Roshini, 16 tahun.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Bahagian Operasi dan Balai Kuala Terengganu, Zakaria Mohamed berkata, seorang lagi mangsa yang kritikal, G. Mathevii, 19, ditemui berpaut pada batu di gigi air dalam keadaan separuh sedar dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Katanya anggota bomba dan penyelamat yang berkejar ke pantai itu sebaik sahaja mendapat laporan, menemui mayat kedua-dua beradik itu kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian. Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat

Kesemua mangsa yang berasal dari Kampung Jawa, Klang, Selangor tiba di sini kira-kira pukul 2 petang.

Zakaria berkata pihaknya kini menumpukan usaha mencari tiga lagi mangsa yang masih hilang yang hanya dikenali sebagai Ramond, 26, Mogan, 21 dan Vijay Kumar, 18 tahun.

Katanya usaha mencari mangsa yang turut dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia agak sukar memandangkan ombak besar dan angin kencang di kawasan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Abdul Halim Ishak berkata kesemua mangsa sebelum itu melawat keluarga di Batu Rakit, dekat sini sebelum mengambil keputusan berkelah di pantai itu.

Sementara itu, saudara kepada mangsa, R. Ragesh, 23 berkata kejadian berlaku dengan cepat ketika mandi, ada yang lemas dan menjerit minta tolong, kami cuba selamatkan satu sama lain, tak sangka semua lemas, tak sangka sudah jadi macam ni.”

Beliau berkata saudara-saudaranya begitu gembira dapat bercuti bersama-sama dan berkelah di Pantai Pandak berkenaan.

Namun kegembiraan tersebut mengorbankan dua daripada mereka, manakala tiga yang lain masih hilang.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Bahagian Operasi dan Balai Kuala Terengganu, Zakaria Mohamed berkata usaha mencari mangsa yang masih hilang dalam kejadian pukul 2 petang itu dihentikan pada pukul 7 malam berikutan cuaca gelap dan ombak besar.

Seorang penduduk di situ, Mohd Yusof Mamat, 57, yang ditemui berkata kejadian berlaku ketika penduduk kampung ke masjid untuk solat Jumaat.

“Ombak kuat sejak beberapa hari lalu, memang dah lama kami tak bagi budak-budak di sini mandi di pantai ni. Saya kesal kerana mereka (mangsa) mandi ketika kami tak ada, kalau kami nampak mereka mandi memang kami larang,” katanya.