Lebih 30,000 remaja dijangka berada di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak Sabtu ini dalam program Himpunan Remaja Terengganu sempena Pelancaran Kelab Permotoran Remaja Terengganu (KPRT) yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Difahamkan, Perdana Menteri juga akan melancarkan poster 1 Malaysia yang bertandatangan beliau sendiri kepada remaja dan wakil belia serta jabatan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, semalam, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menghantar 1,000 ahli KPRT yang mempunyai lesen memandu manakala remaja yang tiada lesen, pihak penganjur sediakan bas untuk sampai ke stadium.

Katanya, program ini berlangsung selama tiga hari bermula 16 Disember dipenuhi pelbagai aktiviti seperti forum perdana yang akan menampilkan tokoh Imam Muda, ekspo kerjaya dan pendidikan oleh beberapa pusat latihan kemahiran yang terdapat dalam negeri.

“Sepanjang festival, kita turut mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan peluang kerjaya kepada golongan belia serta mengadakan temuduga terbuka di tapak program,” katanya pada sidang media, di Wisma Darul Iman, semalam.

Katanya, program ini memberi ruang kepada golongan belia menyertai aktiviti yang selari dengan minat dan kebolehan mereka serta ingin mengalihkan tumpuan segelintir remaja yang membazir masa merempit di jalan raya.

Rozi mempelawa remaja di seluruh negeri datang memeriahkan festival yang diadakan khusus untuk mereka sambil menikmati pertunjukan drif, perlumbaan sprint test, belon udara dan juga persembahan beberapa artis tanah air.