Dr Syed Azman 'mengasak' Menteri Besar pada sidang DUN semalam

Perancangan penyusunan semula bandar raya Kuala Terengganu dibuat dengan mengambil kira kepentingan orang Melayu agar mereka tidak terpinggir.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan, pendirian kerajaan ini jelas dengan memastikan 80 peratus penempatan di bandar raya ini untuk golongan itu.

Katanya, pengambilan balik tanah pula dilakukan dengan imbuhan sewajarnya yang begitu tinggi termasuk kepada mereka yang menduduki secara haram di kawasan terbabit sejak sekian lama.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) semasa sesi menjawab soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

Syed Azman yang bangkit mencelah semasa Menteri Besar menjawab soalan asal Adun PAS Ladang, Tengku Hassan Tengku Omar menghangatkan suasana dewan.

Wakil pembangkang itu menuduh kerajaan negeri tidak mempertahankan hak orang Melayu berhubung isu pengambilan tanah dalam proses penyusunan semula bandar raya ini.

Dalam soalan asalnya, Tengku Hassan membangkitkan mengenai janji Menteri Besar mengenakan sewa RM126 sebulan bagi Pangsapuri Ladang Gemilang di pusat bandar raya ini tetapi sekarang dikenakan RM300.

Ahmad terdahulu menjelaskan, kadar sewaan untuk tempoh beberapa tahun itu hanya dikhususkan kepada golongan benar-benar miskin dan bayaran RM300 kepada yang lain adalah wajar dengan keadaan pangsapuri dan lokasinya.