Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjangkakan mengekalkan perbelanjaan modalnya bagi tahun kewangan 2011 dan 2012 pada paras antara RM4.2 bilion hingga RM4.5 bilion.

Syarikat utiliti itu bagaimanapun menjangkakan akan berdepan tekanan kenaikan kos arang batu seawal Mac tahun depan.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata walaupun dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Ogos 2011, TNB terbabit dalam tiga projek penjanaan tenaga, iaitu di Ulu Jelai, Pahang, Hulu Terengganu dan Jana Manjung di Perak tetapi ia masih pada peringkat awal dan tidak memerlukan dana besar untuk tempoh 24 bulan akan datang.

“Dana yang diperlukan untuk perbelanjaan modal ketiga-tiga projek itu secara relatifnya rendah dalam tahun kewangan semasa ini, tetapi kosnya dijangkakan mula memuncak dua tahun akan datang yang akan dirasai pada tahun kewangan 2013.

“Justeru, dalam tempoh dua tahun akan datang kami akan mengekalkan paras perbelanjaan modal semasa iaitu antara RM4.2 bilion hingga RM4.5 bilion,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-20 TNB di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie.

Stesen jana kuasa hidro elektrik di Ulu Jelai bernilai RM2.1 bilion dan Hulu Terengganu RM1.6 bilion masing-masing akan menjana 372 megawatt dan 250 megawatt tenaga elektrik, sementara stesen jana kuasa arang batu Jana Manjung 1,000 megawatt.

Ketiga-tiga projek jana kuasa berkenaan dijadual siap pada akhir 2014 hingga 2015.