Kerajaan negeri Terengganu mengeluarkan dana sebanyak RM13.3 juta bagi membantu seramai 63 pengusaha burung walit di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris berkata, dana tersebut disediakan dalam bentuk pinjaman bercagar yang diuruskan oleh Agro Bank.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha membangunkan perusahaan burung walit dan untuk itu kita menyediakan pinjaman tanpa cagaran yang berjumlah RM30,000 ke bawah selain RM1 juta untuk faedah 40 peserta yang mengusahakan industri burung walit itu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) pada sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, mengenai usaha kerajaan membantu industri sarang burung walit.

Katanya, kerajaan turut mengatur seminar untuk meningkatkan pengetahuan peserta, selain kemudahan teknikal kepada peserta baru dan pengusaha yang pernah gagal.

Asha’ari berkata, kerajaan negeri belum berhasrat untuk mengikuti jejak langkah Indonesia yang membangunkan perusahaan burung walit ini secara komersil.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Wahid mengenai masalah yang dihadapi sesetengah pengusaha burung walit dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), beliau berkata, setakat ini belum ada garis panduan mengenainya.

Beliau difahamkan, garis panduan berkenaan itu setakat ini hanya dikuatkuasakan di peringkat pusat dan belum diperluaskan ke negeri-negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan Dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, bagi mengelak kegiatan curi pasir berlaku seperti di Selangor, kerajaan negeri telah menubuhkan satu pasukan pemantau.

Pasukan itu diketuai oleh Pejabat Tanah dan Galian.

Beliau memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri, pasukan berkenaan turut dianggotai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pentadbir-pentadbir tanah.

Katanya, pada masa ini kes pelanggaran syarat lesen dan kecurian pasir di negeri ini adalah kecil bilangannya namun langkah awal perlu diambil.

Beliau menjawab soalan lisan dan tambahan yang dikemukakan Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam).

Menurut Mohamed, kerajaan negeri tidak meluluskan lesen dengan mudah dan jumlah yang dikeluarkan setiap tahun tidak melebihi 100.

“Ia akan dinilai semula setiap dua tahun di segi keberkesanannya,” jelasnya.
Katanya, kerajaan negeri mengutip hasil sebanyak RM5.012 juta daripada pengambilan pasir di negeri ini dalam tempoh tiga tahun lalu.