Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu dijangka siap dan beroperasi pada Oktober 2015, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB) semalam.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TNB berkata projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat bagi menyediakan kapasiti bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik, menambah baik jaminan sistem tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.

Projek itu yang terletak di bahagian hulu Sungai Terengganu, di kawasan Tasik Kenyir, akan melibatkan pembinaan dua empangan dan pemasangan dua turbin hidro dan generator dalam stesen janakuasa bawah tanah dengan jumlah kapasiti 250 megawat.

TNB menandatangani tiga perjanjian berhubung projek hidroelektrik Hulu Terengganu, yang pertama dengan Loh & Loh Construction Sdn Bhd dan usaha sama Sinohydro Corporation Ltd.

Mengikut kontrak berkenaan, usaha sama itu akan bertanggungjawab bagi kerja-kerja am utama termasuk pembinaan dua empangan, terowong pemindahan air dan janakuasa bawah tanah.

Harga kontrak yang diterima ialah RM828.3 juta.

Perjanjian kedua ialah dengan Consortium of Alstom Projects India Ltd dan Alstom Hydro Malaysia Sdn Bhd bagi harga kontrak yang diterima pada Euro 27.5 juta dan RM127.6 juta.

Kontrak berkenaan melibatkan antara lain reka bentuk, ujian dan pelaksanaan loji janakuasa itu, setiap satu dengan kapasiti penjanaan sebanyak 125 megawat dan berkaitan peralatan elektrik dan mekanikal.

Perjanjian ketiga ialah dengan usaha sama yang terdiri daripada SNC-Lavalin Inc, SNC-Lavalin Power (Malaysia) Sdn Bhd, KTA Tenaga Sdn Bhd dan G & P Professionals Sdn Bhd.

Usaha sama berkenaan akan menyediakan reka bentuk kejuruteraan terperinci bagi kerja-kerja am utama, reka bentuk kejuruteraan untuk kerja-kerja elektrik dan mekanikal, pengurusan projek dan penyeliaan tapak.

Harga kontrak yang diterima ialah 1.73 juta dolar Kanada dan RM35.9 juta.

Menurut TNB, pembangunan projek hidroelektrik Hulu Terengganu ialah untuk tempoh lima tahun di mana pembayaran kepada kontraktor-kontraktor ini akan dibuat mengikut perkembangan projek.