Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menarik pelaburan sebanyak RM36.5 bilion dari dalam dan luar negara sejak ia ditubuhkan pada 2007 sehingga November 2010, kata Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Daripada jumlah tersebut, RM15.3 bilion daripadanya telah pun diterima,” kata Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis yang Ketiga untuk tahun 2010 bagi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Kuala Lumpur, semalam.

Pelaburan-pelaburan yang diterima ini merangkumi 158 projek, yang akan mewujudkan 17,500 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk di kawasan itu.

Para pelabur tersebut termasuklah Eco Tower Sdn Bhd dari Singapura dan Oilfields Supply Centre Ltd dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), serta syarikat-syarikat tempatan seperti Sentoria Themeparks and Resorts dan Hi Essence Sdn Bhd.

“Jumlah pelaburan yang memberangsangkan ini mencerminkan keyakinan dan kepercayaan para pelabur terhadap ECER sebagai sebuah destinasi pelaburan yang tersendiri, dinamik dan kompetitif,” kata Najib.

“Kebanyakan infrastruktur asas di ECER telah pun siap dibina dan wilayah ini turut menawarkan pakej insentif fiskal dan bukan fiskal yang kompetitif kepada para pelabur,” kata beliau.

Najib juga berkata beliau sangat berpuas hati dengan usaha promosi pelaburan secara berfokus yang dijalankan oleh ECERDC pada tahun ini, dan kemajuan yang ditunjukkan oleh ECER dari segi pelaksanaan projek.

Pembangunan di ECER sedang berjalan lancar mengikut jadual, di mana kesemua projek yang diluluskan oleh Kerajaan untuk wilayah tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Projek-projek yang bernilai RM1.4 bilion tersebut merangkumi kelompok ekonomi utama iaitu pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan, pertanian dan pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John berkata kesemua projek yang dilaksanakan di ECER adalah seiring dengan Model Baharu Ekonomi (MBE), termasuklah Projek-projek Permulaan (EPP) yang memberi penekanan terhadap projek-projek pelaburan swasta, dan bakal menyumbang secara ketara kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI).

“Projek-projek seperti Agropolitan Pekan, Agropolitan Kelantan Selatan dan Agropolitan Besut-Setiu juga akan membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar dan berpendapatan rendah, dan seterusnya dapat mengurangkan tahap kemiskinan di wilayah ini,” tambah beliau.

“Transformasi ECER kini sedang berjalan dan kami yakin visi ECER untuk menjadi sebuah wilayah maju menjelang 2020 mampu dicapai,” katanya.

Menurut kenyataan daripada ECERDC, antara pencapaian utama yang dicatatkan oleh ECER setakat ini ialah pembangunan Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu (KTCC).

Kuala Terengganu kini bersedia untuk melalui satu transformasi utama di bawah projek KTCC.

Pembangunan KTCC akan menyaksikan ibu negeri Terengganu itu bakal dibangunkan sebagai sebuah Bandar Warisan Pesisir Air dan pintu gerbang pelancongan antarabangsa bagi Pantai Timur.

Perunding projek bagi pembangunan KTCC telah dilantik pada tahun 2009 dan kajian projek tersebut kini berada di peringkat akhir. Kerja-kerja pembangunan reka bentuk dan infrastruktur terperinci bagi KTCC dijangka bakal dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Dianggarkan bahawa pembangunan Pemecah Ombak Utara dan Selatan KTCC bakal menjana pelaburan keseluruhan bernilai RM3.9 bilion, yang mana RM3.5 bilion adalah daripada sektor swasta.