Lebih 1,000 ahli kelab penyokong Terengganu FC akan berkonvoi dari bandar ini menuju Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada pasukan negara pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 menentang Indonesia, hari ini

Jurucakap kelab berkenaan, Mohd Hazrul Mohd Hanafi berkata, konvoi itu akan bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu hari ini yang disertai kira-kira 150 kenderaan pelbagai jenis termasuk kereta, bas persiaran dan van.

“Program ini merupakan tanda sokongan ahli kelab bagi menyemarakkan lagi semangat pasukan negara yang bakal berentap dengan skuad ‘merah putih’, Indonesia pada final pertama.

“Konvoi ini menggabungkan penyokong kelab yang lain dari seluruh negara bagi membentuk ‘lautan kuning’ yang membuktikan kami benar-benar ingin melihat pasukan negara mencipta sejarah buat tanah air bagi kejohanan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kain rentang dan Jalur Gemilang di pekarangan Hotel Felda Residence di Kuala Terengganu, kelmarin.

Kain rentang berukuran 18 meter panjang dan 1.6 meter lebar serta Jalur Gemilang tajaan Hotel Felda Residence diserahkan oleh pengurus hotel itu, Shahrir Naelis Amir kepada Mohd Hazrul.

Sementara itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta penyokong Malaysia diminta memberi sokongan padu dan tidak mengeji pasukan negara pada perlawanan akhir pertama Piala AFF-Suzuki 2010 antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Nasional.

“Soal menang bukan saya sahaja berharap, malah semua (rakyat Malaysia) mahukan kemenangan malam esok. Tetapi saya harap penyokong Malaysia berilah sokongan padu dan jangan `boo’ pemain-pemain kita,” bertitah semalam.

Baginda yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertitah penyokong pasukan negara perlu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan sendiri dalam sebarang keadaan sekalipun.

Baginda turut mengingatkan pemain skuad negara agar tidak terlalu mengambil kira masalah kecederaan pasukan lawan, sebaliknya perlu mempamerkan corak permainan kemas untuk mencipta jaringan sebanyak yang boleh.

Ditanya mengenai persiapan dari aspek keselamatan perlawanan itu, Tengku Abdullah bertitah ia tidak perlu dirisaukan kerana Polis Diraja Malaysia akan menempatkan sejumlah anggota di stadium bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Baginda turut bertitah, walaupun kesihatan baginda masih belum pulih sepenuhnya akibat masalah tekanan darah tinggi yang baginda alami baru-baru ini, baginda akan turut bersama-sama penyokong bagi memberikan sokongan kepada skuad negara.