Kelapa dikatakan berkurangan di Terengganu yang banyak mempunyai pokok kelapa, menyebabkan harga santan segar kini meningkat pada harga RM9 sekilo berbanding RM6 sekilo bulan lalu.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu, Hasan Jusoh berkata antara punca kekurangan kelapa ialah pekebun lebih banyak menjual kelapa muda kerana harganya lebih tinggi.

Beliau berkata harga runcit kelapa muda sekarang ialah RM2.50 sebiji sementara di peringkat ladang antara RM1.00 hingga RM1.50 sebiji.

Harga kelapa tua ialah 70 sen sebiji.

Beliau berkata kekurangan kelapa turut berlaku di negeri lain.

“Sehubungan kekurangan ini, kami sedang cuba mendapatkan bekalan kelapa dari pengimport untuk mengatasi masalah yang dihadapi,” katanya.