UMNO Bahagian Kuala Nerus akan memutuskan lokasi pusat pentadbiran bagi daerah baru yang dicadang dalam mesyuaratnya bulan depan.

Ketua Penerangannya, Muhammad Ramli Nuh berkata, keputusan itu kelak akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk proses kelulusan sebelum dibawa ke peringkat kementerian dan Kabinet.

‘‘Dalam taklimat oleh pihak perunding yang dilantik kerajaan negeri, tiga cadangan tapak dikemukakan iaitu di sekitar Gemuruh, Wakaf Tengah dan Mengabang Bakong.

‘‘Namun berasaskan lokasi itu, Gemuroh dan Wakaf Tengah berada pada kedudukan di tengah-tengah kawasan Kuala Nerus yang bakal menjadi daerah baru.

‘‘Kedua-duanya pula masih mempunyai banyak kawasan tanah terutama tanah pertanian dan bagi satu pusat pentadbiran memerlukan sekurang-kurangnya 40 hektar dan kos pengambilan balik tidak akan menjangkau begitu tinggi,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bahawa cadangan bagi pembentukan daerah baru itu masih belum dibawa untuk kelulusan kerajaan negeri.

Menteri Besar dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini berkata, ia memerlukan beberapa proses rantaian kelulusan berasaskan beberapa aspek yang perlu dipenuhi.

Katanya, kerajaan negeri cuma menanti kata putus oleh kepimpinan setempat berhubung kawasan mana yang akan dijadikan sebagai pusat pentadbiran.

Kuala Nerus yang terletak di kawasan Kuala Terengganu Utara membangun dengan pesat dengan kedudukannya sebagai tapak institusi pengajian tinggi dan institut kemahiran serta industri di samping wujudnya banyak projek perumahan.

Menurut Muhammad Ramli, jumlah penduduk di kawasan itu lebih ramai berbanding penduduk di beberapa daerah lain di negeri ini.

‘‘Sekarang ini pentadbiran daerah Kuala Terengganu merangkumi 12 kawasan Dewan Undangan Negeri dan empat kawasan Parlimen.

‘‘Ia tentunya menyukarkan tumpuan seimbang oleh pihak pentadbiran bagi memenuhi keperluan dan mengatasi masalah-masalah yang timbul,” ujarnya.

Katanya, pada awalnya pihak kepimpinan setempat menyasarkan kerajaan negeri dapat mengisytiharkan Kuala Nerus sebagai daerah kelapan bagi negeri ini pada awal tahun depan.