Harun menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah akibat terkena tembakan peluru sesat

“Ketika kejadian, saya tidak sedar tangan terkena tembakan hinggalah tiba-tiba perasan ada darah mengalir. Mulanya saya fikir tangan saya hanya luka terkena sesuatu lalu saya mudik ke darat dan meminta bantuan bapa mentua yang berada di kebunnya di kawasan berhampiran.

“Melihat keadaan saya berlumuran darah, bapa mentua terus membawa saya ke ke Hospital Dungun. Di situlah baru saya tahu ada sembilan serpihan peluru dalam tangan kanan saya selepas menjalani pemeriksaan x-ray,” kata Harun Mohd, 48, yang menjadi mangsa tembakan peluru penabur sesat ketika mahu melihat pukatnya di Sungai Paka, Dungun, kelmarin.

Harun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menjalani pembedahan doktor pakar bagi mengeluarkan peluru tabur dalam tangan.
Katanya, sebelum kejadian dia ada terdengar bunyi seperti tembakan, tetapi tidak mengendahkannya kerana sudah biasa berikutan kawasan hutan berkenaan memang lokasi popular bagi pemburu rusa dan pelanduk.

“Saya tidak sangka selepas hampir setiap hari turun ke sungai sejak 28 tahun lalu kerana hobi memukat ikan, semalam (kelmarin) menjadi hari malang saya apabila terkena peluru sesat,” katanya di HSNZ di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin, Harun turun ke Sungai Paka berdekatan bandar Al-Mukhtafi Billah Shah (AMBS) untuk melihat hasil pukat yang dipasangnya, sebelum terdengar bunyi tembakan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya menjalankan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api kerana menyebabkan kecederaan dengan sepucuk senjata tanpa alasan yang sah.