Dr A. Rahman Mohktar (kanan) bersama Wan Kamal Wan Ismail (kiri) menziarahi Faridah Mamat yang terlantar di rumahnya di Kampung Kuala Ibai Pantai, kelmarin

Kerajaan negeri akan menanggung kos penyediaan susu dan keperluan bagi seorang pesakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) yang koma di rumahnya di Kampung Kuala Ibai Pantai dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A. Rahman Mohktar memberitahu, bantuan itu untuk meringankan beban keluarga Faridah Mamat, 23, yang memerlukan RM3000 sebulan bagi menampung keperluannya.

”Jabatan Kesihatan negeri akan turut membantu Faridah dengan memantau keadaannya dari semasa ke semasa,” katanya ketika menziarahi pesakit itu semalam.

Turut hadir Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Wan Kamal Wan Ismail dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah Hassan.

Faridah, seorang suri rumah dan isteri kepada seorang pekerja di kedai pengiklanan di sini menghidap penyakit SLE sehingga mengalami gangguan saraf otak yang menyebabkannya koma sejak empat bulan lalu.

Dia yang melangsungkan perkahwinan Jun lalu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tiga bulan kemudian.

Namun selepas lebih sebulan, keadaannya tidak menunjukkan sebarang kemajuan dan keluarga akhirnya memohon kebenaran membawanya pulang.

A. Rahman berkata, kerajaan mempunyai peruntukan khusus melalui Tabung Darul Iman bagi membiayai kos rawatan penduduk tempatan yang menghidap sakit kronik.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Wan Kamal kerana telah mengambil langkah awal menghulurkan bantuan peribadi termasuk menyediakan katil khusus untuk pesakit.