Kepulangan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pagi esok dinanti-nantikan oleh pemimpin dan rakyat negeri ini selepas diumumkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang baru, Isnin lalu.

Ahmad Said berada di luar negara sejak seminggu lalu dan kalangan pemimpin UMNO difahamkan tidak sabar-sabar untuk menyambut kepulangan beliau.

Bagaimanapun difahamkan tiada sambutan besar-besaran diadakan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu pagi esok kerana perlantikan itu dianggap sebagai ‘amanah’ bukan sebagai ‘kemenangan’.

Sepatutnya Ahmad Said akan memulakan tugas segera di pejabat pada Ahad. Bagaimanapun kerana Terengganu bercuti pada Ahad, beliau dijangka akan memulakan tugas rasmi pada Isnin.

Beberapa pemimpin politik di negeri ini menyatakan kegembiraan dengan pelantikan itu disebalik menganggapnya sebagai tanggungjawab besar sedang menanti Ahmad Said.

Ahmad Said dijangka akan menemui pemimpin UMNO negeri dalam masa terdekat.

Spekulasi mula bertiup kencang bahawa Ahmad Said akan menukar struktur pentadbiran UMNO negeri, bagaimanapun sehingga ini Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang akan memulakan tugas mulai esok (1 Januari 2011) belum membuat sebarang kenyataan.

Ketika ini Ketua Bahagian UMNO Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang adalah Setiausaha, Datuk Ahmad Shabery Cheek (Ketua Penerangan) dan Datuk Rahin Mohd Said sebagai Bendahari.

Ahmad Said dibantu oleh Ketua Bahagian Marang, Yahya Khatib Mohamad.

Kelmarin Ahmad Said melahirkan ucapan amat berterima kasih kepada Presiden dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi kerana memberi kepercayaan untuk memimpin UMNO Terengganu.

“Saya dan rakan rakan dalam parti akan memberi tumpuan untuk terus memperkasakan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan mempastikan kemenangan besar bagi Barisan Nasional,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar.

Katanya, tugas utama beliau juga adalah untuk memastikan rakyat terus memberi kepercayaan dan bersama UMNO, terutama generasi muda, kerana golongan ini perlu diajak menghayati sejarah perjuangan UMNO, iaitu untuk Agama,Bangsa dan Negara.

Kalangan pendokong UMNO di negeri ini dikatakan amat mengalu-alukan pelantikan ‘anak negeri’ ini sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu sebagaimana yang banyak dizahirkan melalui usul-usul dalam mesyuarat UMNO cawangan baru-baru ini.

Ahmad Said menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang melepaskan jawatan itu selepas mentadbir UMNO Terengganu hampir dua tahun.