Suzana Mohamed Salleh dan suami Badrul Hisham Zaki sentiasa membuat pemantauan bagi menjamin produk keluaran 'Ziq Bakery & Cake' di Kuala Terengganu memenuhi piawaian yang ditetapkan

Bermula dengan usaha kecil-kecilan secara bermusim khususnya ketika perayaan, hasil tangannya dari rumah menjadi buah mulut pelanggan.

Promosi lisan tentang kepuasan pelanggan terhadap keenakan rasa roti dan kek dengan harga setimpal beransur-ansur meningkatkan permintaan terhadap produknya saban tahun.

Menyedari potensi yang ada dan berbekalkan pengalaman yang diwarisi daripada keluarga, Suzana Mohamed Salleh, 36, mula berani mengorak langkah lebih jauh empat tahun kemudian.

Dengan menyewa sebuah rumah dua tingkat di Kampung Gong Pak Maseh, dekat sini, wanita itu menjadikan premis itu pusat pengeluaran dan penginapan bagi pekerjanya.

Pada 2004, ibu kepada empat anak itu memperkayakan ilmu pembuatan makanan dengan mengikuti kursus jangka pendek di Malaysian Institute of Bakery (MIB) selama dua bulan.

”Saya kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat diploma dalam bidang Baking Science and Technology di institusi sama selama dua tahun,” ujarnya.

Melihat akan keadaan pasaran kek, pastri dan bakeri tempatan yang banyak dimonopoli oleh bukan Islam, beliau membuka sebuah kedai berkonsep moden menggunakan jenama ‘Ziq Bakery & Cake’ (Ziq) dua tahun kemudian di Gong Kapas dekat Kuala Terengganu.

Selaku pengurus perniagaan itu, Suzana sebagai peniaga Islam berusaha memenuhi tuntutan agama yang meletakkan satu kewajipan menyediakan makanan suci, bersih dan halal kepada pelanggannya.

Pada Ogos 2008, perusahaan itu menjadi perniagaan perkongsian bersama suaminya, Badrul Hisham Zaki, 41, yang juga Pengarah Urusan di syarikat berkenaan.

Menurut Badrul Hisham, perniagaan mereka berkonsepkan ‘dapur terbuka’ yang membolehkan pelanggan melihat sendiri proses penyediaan produk yang hendak dibeli melalui jendela kaca.

“Ini akan memberi kepuasan dan keyakinan kepada pelanggan kerana mereka dapat melihat tahap kebersihan dalam proses pembuatan dan menilai kesucian produk yang dihasilkan.

“Maka lahirlah moto ‘Bersih, Suci, Yakin’ untuk Ziq dalam menghasilkan lebih 200 jenis kek, roti dan pastri pada hari ini,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Katanya, Anugerah Kilang Produk Halal Terbaik yang diterimanya pada Sambutan Maal Hijrah 1432 peringkat negeri baru-baru ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi lebih kepada satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat Islam.

“Ziq akan terus komited menjadikan perniagaan yang dimonopoli sepenuhnya bukan Islam sebagai satu industri makanan ala barat yang mampu menyediakan juadah ‘Halalan Toyyiban’ yang bersih suci dan diyakini,” katanya.

Dengan 80 kakitangan dan kilang pengeluaran di Kawasan Perindustrian Chendering dekat sini, Ziq kini mempunyai lima buah cawangan di daerah ini iaitu Gong Kapas, Mydin Mall, Plaza Paya Keladi, Chendering dan Perpustakaan Awam Terengganu.

”Kami juga mula melebarkan sayap ke luar negeri ini dengan pembukaan outlet di Mydin Mall, Melaka,” jelasnya.

Menurutnya, Ziq turut mendapat kepercayaan daripada agensi kerajaan untuk mengendalikan pelbagai kursus masakan kepada golongan sasaran seperti ibu tunggal dan usahawan kecil tempatan.

“Usahasama Ziq dengan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) antara lain bertujuan memberi bimbingan dalam soal pembuatan produk yang baik serta prospek semasa perniagaan ini,” jelasnya.