Pembedahan ke atas wajah mangsa simbahan asid oleh bapanya sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda Khalid, 8, dijangka akan dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula pada 11 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A. Rahman Mohktar bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada laporan perubatan yang diterima sebelum tarikh berkenaan.

Katanya, jika laporan tersebut memuaskan, Nurul Dahyatul dijangka menjalani pembedahan yang dinamakan ‘pembuangan parut dan penambahan kulit’ di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

“Saya difahamkan bahawa kos untuk melakukan pembedahan ini tidak akan menelan belanja yang besar kerana ada dana khas yang diperuntukkan kepada pelajar sekolah untuk tujuan tersebut.

“Jika perlu, kerajaan negeri akan menanggung semua perbelanjaan itu kerana kita mempunyai segala kepakaran yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengunjungi rumah keluarga kanak-kanak malang itu di semalam.

Nurul Dahyatul sebelum ini mengalami cedera parah di bahagian muka akibat disimbah asid dalam kejadian yang turut melibatkan ibu, adik dan neneknya Oktober tahun lepas.
Dia dijangka akan memulakan sesi persekolahan Isnin ini.