PDRM menyasarkan untuk menurunkan indeks jenayah di empat negeri utama yang disifatkan ‘panas’ pada tahun ini, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hussin Ismail.

Beliau berkata, ketika ini, negeri-negeri terbabit iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor mempunyai indeks jenayah tertinggi dengan kira-kira 50 kawasan ‘panas’ kesemuanya.

“Bagaimanapun, ia tidak bermakna PDRM mengabaikan keselamatan di negeri-negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Polis Gong Badak, dekat Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa dan timbalannya, Datuk Hamzah Md. Jamil.

Terdahulu, dalam lawatan kerja sehari itu, Hussin turut melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri bagi bertemu pegawai kanan polis.

Hussin berkata, selain memberi tumpuan lokasi panas, pihaknya juga akan menekankan konsep 4P iaitu Protective (Melindungi), Performance (Kualiti Kerja), Proactive (Proaktif) dan People (Rakyat).

Beliau yang sebelum ini pernah menjadi Ketua Polis Negeri dari 2004 hingga 2006 berkata, setiap negeri perlu mempunyai sasarannya untuk memastikan keseluruhan indeks jenayah dikurangkan.

“Masing-masing (negeri) perlu kenal pasti lokasi ‘panas’ untuk bersama-sama kurangkan indeks keseluruhan jenayah di negeri-negeri berkenaan,” ujarnya.

Hussin turut berpuas hati dengan pencapaian polis negeri dalam mencegah jenayah dan berharap supaya langkah pencegahan itu dapat dipertingkatkan terutama berkaitan dadah.

Beliau juga berharap usaha menangani masalah tersebut turut membabitkan agensi-agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan negeri itu tidak dijadikan transit pengedaran dadah.