Menteri Besar melawat Nurul di HSNZ semalam

Kanak-kanak malang yang menjadi mangsa simbahan asid oleh bapanya sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, terpaksa melalui lebih banyak siri pembedahan untuk mengurangkan parut di mukanya.

Ketua Jabatan Pembedahan Plastik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr Najihah Sharida Zakaria berkata ia akan masa bertahun-tahun untuk melakukan proses berkenaan kerana ia terpaksa dilakukan secara peringkat demi peringkat.

“Pembedahan semalam adalah untuk membuang lebihan di pipi kiri dan kanannya selain menampal parut mukanya dengan mengambil kulit daripada bahagian pangkal paha.

“Ia akan mengambil masa enam minggu untuk pulih sepenuhnya daripada kesan pembedahan pertama dan pembedahan seterusnya pula hanya dapat dilakukan enam bulan selepas itu,” katanya di Kuala Terengganu.

Terdahulu, Dr Najihah mengiringi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said melawat Nurul Dahyatul di Unit Rawatan Kebakaran HSNZ selepas menjalani pembedahan pertama semalam.

Katanya Nurul Dahyatul boleh kembali bersekolah dalam tempoh dua minggu lagi, namun kanak-kanak itu memerlukan masa yang agak panjang untuk kembali pulih.

“Harus diingat, parut akibat simbahan asid tidak dapat dipulihkan sepenuhnya dan ia kekal. Apa yang dapat dilakukan oleh perubatan adalah mengurangkan kesan akibat terkena simbahan asid,” katanya.

Pembedahan dilakukan mengikut peringkat demi peringkat dan setiap pembedahan yang dilakukan bergantung kepada hasil pembedahan sebelumnya, katanya.

Dr Najihah berkata Nurul Dahyatul perlu mengikut arahan ditetapkan doktor termasuk dengan memakai topeng tekanan yang disediakan kepadanya untuk membolehkannya cepat sembuh.

“Dengan memakai topeng, ia dapat membuat isi yang berlebihan di muka menjadi rata seperti yang sepatutnya,” katanya.

Sebelum ini, Nurul Dahyatul dilaporkan enggan untuk memakai topeng terutama di sekolah kerana merasa kurang selesa termasuk berasa gatal di bahagian muka.

Sementara itu, Ahmad menyatakan kesediaan kerajaan negeri menghulurkan apa jua bantuan termasuk menanggung kos rawatan pembedahan Nurul Dahyatul.

“Kalau perlu dihantar ke hospital swasta kita akan tanggung kosnya, tetapi kita dimaklumkan di HSNZ juga kita mempunyai doktor pakar yang mampu mengendalikan kes ini,” katanya.