Ahmad Said tinjau kawasan tebatan banjir di kawasan Taman Pusu Tiga, Gong Badak

Kerajaan Terengganu akan membina tebatan banjir di beberapa kawasan perumahan di negeri ini bagi menangani masalah tersebut yang sering melanda kawasan berkenaan apabila musim tengkujuh.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata projek perintis akan dilaksanakan di Taman Pusu Tiga, Gong Badak di sini dengan kos RM5.6 juta.

“Kita harap projek perintis ini akan berjaya dan kita akan teruskan di tempat lain di masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek tebatan banjir itu, pada Isnin.

Ahmad berkata kawasan itu sering ditenggelami air apabila musim tengkujuh disebabkan kawasannya yang rendah dan berpaya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga akan membina laluan alternatif bagi penduduk di kawasan Taman Pusu Tiga tersebut.

Beliau berkata antara kawasan yang telah dikenal pasti untuk projek tebatan banjir tersebut ialah kawasan perumahan Baroh Tok Jiring di Gong Badak di sini dan perumahan Taman Rakyat di Gong Pasir, Dungun.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan kos kedua-dua projek tersebut.

Mengulas mengenai kejadian banjir di negeri itu, Ahmad berkata walaupun bencana tersebut melanda seluruh negeri, keadaan tidak membimbangkan kerana hujan yang tidak menyeluruh.

Beliau juga berkata kerajaan negeri belum menetapkan peruntukan untuk mangsa banjir buat masa ini.