Pengarah Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN), Haji Che Rani Mohd dengan sijil pengiktirafan lima bintang sempena majlis penganugerahan “Government Portals & Website Assessment 2010”

Portal Terengganu mendapat pengiktirafan lima bintang daripada Multimedia Development Corporation (MDeC) di majlis penganugerahan Government Portals & Website Assessment 2010, pada 11 November 2010 di Dewan Ruby, One World Hotel, Genting Highlands.

Pengarah Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN), Haji Che Rani Mohd yang mewakili Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), menerima anugerah prestij tersebut. Terengganu merupakan antara enam daripada 13 negeri di Malaysia yang mendapat anugerah berkenaan.

Majlis kali kedua itu menonjolkan nama Terengganu di bidang Information and Communication Technology (ICT) seiring dengan negeri lain di Malaysia. Pada majlis kali pertama yang diadakan pada 2009, Terengganu mendapat pengiktirafan empat bintang.

Haji Che Rani, berkata hasil usaha gigih semua pihak, terutama kakitangan kerajaan bagi memastikan negeri ini berkebolehan dalam semua aspek meletakkan Terengganu pada landasan terbaik untuk menerima anugerah lima bintang.

Antara negeri yang mendapat pengiktirafan lima bintang ialah Selangor, Kelantan, Sarawak, Melaka serta Johor. Pada majlis yang sama juga Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Daerah Marang (MDM), Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Majlis Daerah Setiu (MDS) turut mendapat anugerah dalam kategori masing-masing.

“ Lima kriteria utama dilihat iaitu Citizen Interaction, Citizen Insight, Citizen Services, Citizen Support dan Content Management daripada keseluruhan laman web atau portal oleh panel penilai dalam membuat penilaian bagi memastikan pihak yang berhak menerima anugerah tersebut,” katanya semalam.

Che Rani berharap lebih banyak peningkatan daripada agensi kerajaan pada tahun ini dalam memastikan Terengganu mampu mengekalkan anugerah yang diterima di samping menerima lebih banyak pengiktirafan daripada pihak berkuasa pada masa akan datang.