Menteri Besar memperkatakan sesuatu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri - Datuk Mohamed Awang Tera sambil diperhatikan oleh Yahya Khatib Mohamad

Lampu limpah dan lampu hiasan akan dipasang sepanjang muara sungai Terengganu bagi menambah keindahan dan keceriaan kawasan yang menjadi laluan bot pelancong menuju ke destinasi melalui air.

“Kerja-kerja pembersihan sungai turut dilakukan dalam masa terdekat yang akan diserahkan kepada kontraktor,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kepada pemberita di D’Muara Live Seafood, Kampung Losong, Kuala Terengganu, semalam (12 Januari).
Datuk Seri Ahmad Said meninjau tebing Sungai Terengganu berhampiran D’ Muara Live Seafood, Kampung Losong.

Datuk Seri Ahmad Said meninjau tebing Sungai Terengganu berhampiran D' Muara Live Seafood, Kampung Losong

Katanya, bandar Kuala Terengganu kekurangan tempat menarik untuk membawa keluarga dan rakan-rakan makan sambil bersantai pada waktu malam dan dengan adanya `D’Muara Live Seafood’ ini dapat memberi pilihan kepada pengunjung sambil menyedup udara segar.

“Di sini juga akan menjadi salah satu tempat persinggahan bagi bot-bot yang membawa pelancong sebelum ke Kompleks Kraf Batik, Tanjung Bunut, Taman Tamadun Islam dan Muzium Terengganu,” katanya.

D’Muara Live Seafood yang beroperasi pada akhir tahun lalu membabitkan kos pengubahsuaian sebanyak RM200,000 merupakan rangkaian T’Kafe yang dibangunkan di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

Ahmad Said bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam meninjau operasi kedai makan yang menyajikan masakan Melayu dan Cina selain turut menikmati masakan yang disediakan.

Dalam pada itu, Menteri Besar menjelaskan pengagihan bantuan pakaian sekolah kepada 120,000 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negeri bermula pada pertengahan bulan depan dengan peruntukan RM12 juta.

“Keluarga yang berpendapatan RM1,200 ke bawah layak menerima bantuan ini bernilai RM100 seorang dan setiap keluarga layak untuk dua orang anak yang bersekolah di sekolah rendah dan menengah,” katanya.