Seorang nelayan berusia 53 tahun dari Kuala Besut, Terengganu menjadi mangsa terbaru akibat dijangkiti demam denggi pada minggu pertama tahun 2011.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan berkata mangsa yang mengalami demam, sakit kepala dan badan pada 27 Dis lepas mendapat rawatan di klinik terdekat tiga hari kemudian.

“Pada 31 Dis, pesakit dimasukkan ke Hospital Besut dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah keesokannya kerana mengalami komplikasi pendarahan. “Keadaannya bertambah tenat sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 3 Jan dan meninggal dunia keesokannya kerana ”Dengue Shock Syndrome”,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan di kawasan kediaman mangsa mendapati ia merupakan lokasi wabak berikutan anak mangsa yang berusia 13 tahun turut dimasukkan ke hospital akibat demam denggi.

Dr Mohd Ismail berkata, pemeriksaan yang dijalankan turut menemui tempat pembiakan Aedes di dua daripada 48 rumah, iaitu pada sinki terpakai dan bekas botol minyak.

“Kedua-dua pemilik premis ini telah dikenakan kompaun maksimum RM500 dan semburan kabus telah dijalankan terhadap kesemua 48 premis kediaman terbabit, serta penduduk mengadakan gotong-royong pada Sabtu lepas,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata jumlah demam denggi meningkat sebanyak 34 kes atau tujuh peratus berbanding 487 kes pada minggu sebelumnya, dan terdapat sepuluh negeri menunjukkan peningkatan pada minggu lalu.

Sementara itu, bilangan kes di Sarawak meningkat sebanyak 17, Melaka (11), Kelantan dan Pahang (7), Kedah (6), Pulau Pinang (5), Terengganu (4), Negeri Sembilan (2) serta masing-masing satu kes di Perlis dan Labuan.

Beliau berkata sejumlah 107 lokaliti wabak dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu, lima lokaliti kawasan panas dikenal pasti minggu lepas membabitkan 61 kes demam denggi.

“Tiga atau 60 peratus daripada lima lokaliti kawasan panas ini masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi, iaitu di Kampung Melayu Batu 16, Rawang, Selangor; Kampung Baru Sungai Terentang, Selangor dan Taman Miharja, Cheras, Selangor,” katanya.

Beliau berkata, hanya satu atau 20 peratus daripada lima lokaliti kawasan panas itu didapati menjalankan aktiviti gotong-royong dan ia perlu ditingkatkan di negeri yang mengalami banjir iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bagi Chikungunya, Dr Mohd Ismail berkata, situasi penyakit itu diharap akan terus berkurangan pada tahun ini berikutan tiada kes dilaporkan sejak tiga minggu lepas, termasuk minggu pertama.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian melaksanakan beberapa inisiatif baru dengan tumpuan utama di kawasan Lembah Klang, termasuk memasang iklan pencegahan pada 30 bas, membina 50 unit papan iklan di sekolah dalam kawasan panas dan memperkenalkan perkhidmatan lori bergerak ke kawasan itu bagi aktiviti penyampaian maklumat kepada komuniti.

Katanya, langkah pencegahan melalui penghapusan tempat pembiakan Aedes dengan meluangkan masa 10 minit seminggu, mampu mengurangkan jangkitan dan kematian akibat demam denggi.