Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengesan 62 ekor lembu diserang penyakit kuku dan mulut sejak November lepas hingga kini.

Timbalan Pengarah JPV negeri, Dr Ahmad Shafri Hassan berkata wabak itu dikesan di Padang Kemunting di sini melibatkan 50 ekor lembu sementara 12 ekor lagi dikesan di Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.

“Kita percaya penyakit berlaku sejak November lalu. Bagaimanapun tidak ada ternakan yang mati setakat ini,” katanya.

Beliau berkata lembu di Padang Kemunting melibatkan lembu peliharaan penduduk kampung manakala di Pengkalan Ajal merupakan lembu tenusu projek susu JPV.

Katanya nilai lembu-lembu tersebut dianggarkan melebihi RM160,000.

Dr Ahmad berkata pihaknya dalam proses memberikan suntikan vaksin kepada lebih 100,000 ekor lembu yang belum dijangkiti wabak itu di Terengganu.

Sementara itu beliau berkata JPV turut memberi suntikan vaksin kepada lebih 200,000 ekor ayam kampung bagi mencegah penyakit hawar.

Setakat ini penyakit itu dikesan berlaku di daerah Kuala Terengganu dan Besut menyebabkan kerugian melebihi RM100,000, katanya.

Bagaimanapun beliau berkata tiada lagi kawasan baru yang dikesan diserang wabak hawar dengan keadaan dilaporkan semakin pulih.