Orang ramai melihat kenderaan yang rentung akibat dirempuh di Kilometer 35 Jalan Kuantan-Kemaman, Kuantan, semalam.


Seorang warga tua rentung manakala suaminya parah selepas kereta Proton Iswara yang dinaiki terbakar dirempuh sebuah Toyota Vios dalam kejadian jam 1.45 petang di Kilometer 35 Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Kuantan, semalam.

Mangsa, Senik Osman, 69, manakala suaminya Abdul Ghani Ahmad, 72 berasal dari Felda Bukit Kuin di Kuantan.

Pemandu Toyota Vios, Patrick Chai Yew Fai, 22, dari Lorong Kubang Buaya, turut parah. Difahamkan, pasangan suami isteri terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengedarkan kad perkahwinan anak perempuan mereka di rumah kenalan dan saudara di Kemaman.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata siasatan mendapati kereta Toyota Vios yang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kemaman memasuki laluan bertentangan kerana cuba memotong kenderaan di hadapannya dan bertembung dengan kereta dipandu Abdul Ghani.

“Abdul Ghani sempat keluar dari kenderaan tetapi isterinya, Senik yang duduk di tempat penumpang depan dipercayai tersepit gagal berbuat demikian sebelum kenderaan itu terbakar.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Zulkifli berkata, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Gebeng tiba ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran sebelum mayat mangsa dikeluarkan dan dihantar ke bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan.