Orang ramai menyemak permohonan pelan dan lesen bangunan pada Program Pemutihan Bangunan Bersama MBKT di Kuala Terengganu.


Hampir 600 premis perniagaan dan kediaman di dua laluan utama dari pinggir pusat bandar raya ini menuju ke Padang Midin dan Manir dibangunkan tanpa kelulusan dan lesen.

Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Zakaria Abdullah berkata, selain menjejaskan perancangan pembangunan, MBKT juga kehilangan punca hasil RM500,000 setahun.

Sehubungan itu, katanya, MBKT mengadakan Program Pemutihan Bangunan Bersama MBKT bagi menjelaskan kepada pemilik bangunan yang dikenal pasti supaya mematuhi prosedur, peraturan dan syarat yang ditetapkan.

Program secara berperingkat diadakan mulai hari ini melalui pertemuan dengan 50 pemilik bangunan di Gong Pauh dekat sini hari ini.

”Ia bertujuan menyelesaikan isu-isu berhubung dengan kelulusan mendirikan bangunan dan pelesenan dengan memberi bantuan khidmat nasihat serta teknikal,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis itu.

Sehingga kini, katanya, terdapat 597 bangunan didirikan secara haram di Persimpangan Tok Ku ke Padang Midin dan dari persimpangan Tok Ku ke Jambatan Manir.

Katanya, mengikut bancian MBKT, sebanyak 249 daripada 597 premis didirikan pada tanah sendiri.

”Sementara 326 lagi termasuk di atas tanah kerajaan dan 22 premis didirikan sepenuhnya di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran,” katanya.

Kedua-dua kawasan itu terlibat dengan proses pengambilan balik tanah bagi pembesaran jalan beberapa tahun lalu dan banyak premis mula dibangun di pinggirnya.

Zakaria berkata, separuh pemilik bangunan di sekitar jalan itu tidak mempunyai lesen yang ditetapkan berdasarkan rekod pelesenan MBKT.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mereka agar memutihkan status premis masing-masing.

“Namun, kerajaan negeri sentiasa mencari jalan untuk membantu sekiranya mereka ada inisiatif termasuk dengan mengeluar permit sementara dalam tempoh lima tahun dan boleh diperbaharui sekiranya mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Sebelum mendapatkan lesen, pemilik perlu mendapatkan kelulusan bangunan di mana syarat utamanya adalah menyediakan pelan lokasi dan geran,” katanya.

Pemilik bangunan juga nasihatkan agar melantik perunding untuk membuat pelan bangunan dan mendapatkan kelulusan semua agensi teknikal sebelum diserahkan kepada MBKT.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya mereka enggan mengemukakan permohonan selewat-lewatnya Februari 2011.