Latest Entries »


Banyak sudah laporan mengatakan Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan melakukan perubahan dalam struktur pengurusan bagi memastikan jentera parti dapat bergerak lebih aktif dan berkesan.

Ini dilakukan dengan melantik muka baru dan lama menduduki jawatankuasa pengurusan peringkat negeri.

Sama ada di Kuala Nerus, Kuala Terengganu atau juga Jerteh, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata struktur pengurusan perlu diubah bertujuan memastikan jentera parti bergerak aktif.

Badan Perhubungan UMNO Terengganu dikatakan akan mengadakan mesyuarat pertamanya di bawah kepimpinan ‘kali kedua’ Ahmad Said esok yang antara lainnya akan membincangkan pelantikan itu selain merancang agenda parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu dan mengambil alih jawatan itu pada 1 Januari lalu, dikatakan berharap sangat agar mesyuarat pertama itu akan memberi nafas baru kepada perjuangan UMNO Terengganu terutama untuk berdepan dengan pembangkang.

Persoalan yang timbul sekarang ialah, siapakah yang akan terlibat dengan rombakan itu.

Yang pastinya, Timbalan Pengerusi sudah dinamakan oleh Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak, iaitu Ketua Bahagian Marang, Yahya Khatib Mohd. Dengan sendirinya salah seorang jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri nanti ialah Alias Abdullah.

Alias yang selama ini dikenali sebagai antara ‘Kumpulan 10’ juga pernah mengejutkan banyak pihak apabila beliau mengemukakan soalan pada persidangan Dewan Undangan Negeri tahun lalu yang menyebabkan berlaku’pertikaman lidah’ antaranya dengan Ahmad Said.

Malah, Alias yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negeri (PAC) dikatakan pernah menimbulkan kontroversi apabila menyiarkan laporan mengenai temubual penuh dengan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Ahamad Wan Muda mengenai perbelanjaan pembelian ‘atap biru’ untuk rakyat.

Berbalik kepada jawatan penting lain seperti Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan, cakap-cakap mengatakan ketiga-tiga mereka yang dilantik oleh bekas Pengerusi Perhubungan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein akan ditukarkan.

Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Bahagian Hulu Terengganu yang ketika Ahmad Said memegang Pengerusi Perhubungan antara 2008-2009, pernah menjadi Timbalan Pengerusi dikatakan akan ditukarkan ke jawatan lain.

Namun, rasanya spekulasi itu kurang tepat kerana Ahmad Said berdepan dengan masalah melantik Setiausaha Badan Perhubungan yang baru dan sesuai walaupun ada beberapa nama ditonjolkan. Ramai mengatakan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang pernah menjadi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu antara 2008 dan 2009 tidak akan dilantik menggantikan Tengku Putera.

Lagipun, Tengku Putera dilihat tidak ada cacat celanya dalam melaksanakan kerja-kerjanya dan dilihat ‘setia’ dengan kepimpinan Ahmad Said.

Bagi jawatan Bendahari pula, rasanya Ahmad Said mempunyai nama baru dan begitu juga Ketua Penerangan.

Ahmad Said sudah berbincang dengan Presiden UMNO di Putrajaya minggu lalu sebelum menghadiri majlis penyerahan tugas oleh Hishamuddin di sebuah hotel terkemuka selepas itu.

Pastinya, Ahmad Said akan akur dengan nasihat Najib yang mahu melihat ‘orang muda’ diberikan amanah untuk menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti.

Malah, dikatakan mereka ini perlu didedahkan dengan pentadbiran parti kerana Terengganu yang diyakini akan dipertahankan kuasanya oleh UMNO pada pilihan raya umum ke 13 akan datang memerlukan tenaga muda yang ‘berjiwa besar’.

Kerana itu ada cakap-cakap mengatakan Datuk Rahin Mohd Said (Bendahari) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek (Ketua Penerangan) akan digantikan.

Sebab-sebab mereka akan digantikan mungkin kerana faktor ‘membawa masuk orang muda’ selain sebab-sebab lain yang Ahmad Said sendiri ketahui.

Jika mereka digantikan, siapa pula akan dilantik?

Banyak nama disebut-sebut termasuk beberapa ADUN seperti Datuk Zaaba Mohd Adib, Ahmad Razif Abdul Rahman, Rozi Mamat serta juga ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof.

Namun, rasanya Ahmad Said lebih berminat dengan mereka yang menunjukkan ‘kesetiaan’ kepada kepimpinan beliau dan ADUN yang menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri.

Kedudukan Rozi ketika ini sudahpun ‘selamat’ dalam Perhubungan UMNO Terengganu kerana secara automatik, jika Tengku Putera dikekalkan, beliau akan menduduki jawatankuasa kerana kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Bahagian.

Ini menjadikan Zaaba dan Razif menjadi tumpuan. Jika demikian, jawatan apakah yang akan disandang mereka.

Apapun, nama-nama pemimpin muda lain tetap diperkatakan mempunyai peluang.

Segala-galanya mungkin sudah ada di kepala Ahmad Said dan esok akan diumumkan hasil perbincangan beliau dengan Najib.

Kita tunggu dan berharap UMNO Terengganu akan semakin mantap.

Yang penting seperti kata Ahmad Said di Jerteh Khamis lalu, UMNO Terengganu perlu merangka beberapa strategi untuk menggempur PAS berasaskan perkembangan semasa terutama mendedahkan pembohongan pemimpin parti itu kepada rakyat negeri ini.

Selain itu, Ahmad Said menegaskan: “Kepemimpinan baru parti akan memberi fokus kepada usaha menyatupadukan ahli dan pemimpin UMNO supaya sentiasa bersedia pada bila-bila masa menghadapi pihak lawan.”

Beliau percaya, rakyat negeri ini akan terus memberi sokongan kepada BN kerana kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap masalah rakyat menerusi pelbagai program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan secara berkesan melalui kepimpinannya yang berteraskan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.


Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang giat membuat kerja memasang lampu baru bagi menggantikan lampu lama di Stadium Sultan Ismail Nasirudidn Shah, Kuala Terengganu supaya perlawanan Liga Super dapat dijalankan pada waktu malam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberi jaminan lampu limpah di stadium itu diganti baru untuk memenuhi piawaian minimum 800 lux sebelum berlangsung Liga Super, dan berikutan itu MBKT mengambil tindakan memasang segera lampu limpah baru melebihi 800 lux yang dijangka siap 25 Januari ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh berterima kasih kepada Menteri Besar yang dapat menyelesaikan masalah itu dengan cepat untuk memastikan semua perlawanan Liga Super diadakan pada waktu malam. Katanya, kerja-kerja pemasangan lampu limpah baru sedang giat dijalankan MBKT sejak dua minggu lalu.

“Apabila masalah lampu di stadium yang tidak memenuhi piawaian minimum 800 lux itu dikemukakan kepada kerajaan Terengganu, Menteri Besar terus memberi persetujuan supaya lampu lama diganti dengan yang baru,” katanya, semalam.

Jawatan Kuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan arahan mengadakan perlawanan pada sebelah petang selepas mendapati lampu limpah stadium bagi pasukan Sabah, Perak, Johor FC, Kelantan, Terengganu dan T-Team tidak memenuhi piawaian.

Che Mat bersyukur masalah yang dihadapi itu bakal selesai dan mengharapkan jumlah peminat bola sepak tempatan bertambah ramai untuk memberi sokongan kepada Terengganu dan T-Team.


Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengesan 62 ekor lembu diserang penyakit kuku dan mulut sejak November lepas hingga kini.

Timbalan Pengarah JPV negeri, Dr Ahmad Shafri Hassan berkata wabak itu dikesan di Padang Kemunting di sini melibatkan 50 ekor lembu sementara 12 ekor lagi dikesan di Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.

“Kita percaya penyakit berlaku sejak November lalu. Bagaimanapun tidak ada ternakan yang mati setakat ini,” katanya.

Beliau berkata lembu di Padang Kemunting melibatkan lembu peliharaan penduduk kampung manakala di Pengkalan Ajal merupakan lembu tenusu projek susu JPV.

Katanya nilai lembu-lembu tersebut dianggarkan melebihi RM160,000.

Dr Ahmad berkata pihaknya dalam proses memberikan suntikan vaksin kepada lebih 100,000 ekor lembu yang belum dijangkiti wabak itu di Terengganu.

Sementara itu beliau berkata JPV turut memberi suntikan vaksin kepada lebih 200,000 ekor ayam kampung bagi mencegah penyakit hawar.

Setakat ini penyakit itu dikesan berlaku di daerah Kuala Terengganu dan Besut menyebabkan kerugian melebihi RM100,000, katanya.

Bagaimanapun beliau berkata tiada lagi kawasan baru yang dikesan diserang wabak hawar dengan keadaan dilaporkan semakin pulih.


Menteri Besar memperkatakan sesuatu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri - Datuk Mohamed Awang Tera sambil diperhatikan oleh Yahya Khatib Mohamad

Lampu limpah dan lampu hiasan akan dipasang sepanjang muara sungai Terengganu bagi menambah keindahan dan keceriaan kawasan yang menjadi laluan bot pelancong menuju ke destinasi melalui air.

“Kerja-kerja pembersihan sungai turut dilakukan dalam masa terdekat yang akan diserahkan kepada kontraktor,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kepada pemberita di D’Muara Live Seafood, Kampung Losong, Kuala Terengganu, semalam (12 Januari).
Datuk Seri Ahmad Said meninjau tebing Sungai Terengganu berhampiran D’ Muara Live Seafood, Kampung Losong.

Datuk Seri Ahmad Said meninjau tebing Sungai Terengganu berhampiran D' Muara Live Seafood, Kampung Losong

Katanya, bandar Kuala Terengganu kekurangan tempat menarik untuk membawa keluarga dan rakan-rakan makan sambil bersantai pada waktu malam dan dengan adanya `D’Muara Live Seafood’ ini dapat memberi pilihan kepada pengunjung sambil menyedup udara segar.

“Di sini juga akan menjadi salah satu tempat persinggahan bagi bot-bot yang membawa pelancong sebelum ke Kompleks Kraf Batik, Tanjung Bunut, Taman Tamadun Islam dan Muzium Terengganu,” katanya.

D’Muara Live Seafood yang beroperasi pada akhir tahun lalu membabitkan kos pengubahsuaian sebanyak RM200,000 merupakan rangkaian T’Kafe yang dibangunkan di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

Ahmad Said bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam meninjau operasi kedai makan yang menyajikan masakan Melayu dan Cina selain turut menikmati masakan yang disediakan.

Dalam pada itu, Menteri Besar menjelaskan pengagihan bantuan pakaian sekolah kepada 120,000 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negeri bermula pada pertengahan bulan depan dengan peruntukan RM12 juta.

“Keluarga yang berpendapatan RM1,200 ke bawah layak menerima bantuan ini bernilai RM100 seorang dan setiap keluarga layak untuk dua orang anak yang bersekolah di sekolah rendah dan menengah,” katanya.


Kerajaan Terengganu akan mengkaji kemungkinan menaikkan kadar bayaran elaun bagi Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan bilal.

Menteri Besar Datuk Ahamd Said berkata Pejabat Setiausaha Kerajaan akan membuat kertas cadangan untuk dipertimbangkan.

“Pengerusi JKKK sama dengan imam dinaikkan kadar elaun seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri tahun lepas, namun pada pengumuman itu, tidak disebut kenaikan elaun Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari JKKK sama juga dengan bilal,” katanya pada sidang media di Restoran D”Muara Live Seafood selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri semalam.

Pada bajet tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan elaun Pengerusi JKKK dan imam antara RM800 dan RM850 mulai tahun ini.

Sebelum ini Pengerusi JKKK menerima elaun sebanyak RM450 manakala timbalannya RM300, setiausaha (RM350) dan bendahari (RM200) sebulan.


Jalan yang menghubungkan Kuala Berang dengan Gua Musang di Kelantan terpaksa ditutup ekoran mendapan di beberapa lokasi sepanjang laluan tersebut

Jalan menghubungkan Kuala Berang dengan Gua Musang di Kelantan ditutup kepada semua pengguna jalan raya mulai hari ini kerana keadaannya tidak begitu selamat.

Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, hujan lebat yang berterusan sejak akhir tahun lalu telah menyebabkan berlakunya mendapan dan kegagalan cerun di beberapa lokasi.

Kejadian mendapan telah dikesan berlaku pada tiga lokasi iaitu di kilometer 35, kilometer 47 dan kilometer 59 pada jalan tersebut yang berada dalam daerah Hulu Terengganu.

Ia bermula 35 kilometer dari Simpang Kuala Jeneris dan satu kilometer dari Jambatan Pasir Pulai menghala ke Gua Musang.

Menurut kenyataan itu, hasil pemantauan dan siasatan pihak JKR mendapati jalan itu perlu ditutup sementara bagi menjamin keselamatan pengguna dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan.

Penutupan jalan akan bermula hari ini dan kerja-kerja pembaikan akan dimulakan secepat mungkin.

JKR negeri menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi kesemua papan tanda dan tunjuk arah yang disediakan.

“Pengguna jalan raya dari Pantai Barat yang bercadang ke Terengganu hendaklah melalui jalan-jalan lain iaitu Jalan Kuala Lipis/Gua Musang/Kuala Krai (FT 8),” kata kenyataan itu.

Menurutnya, pengguna dari Kuala Lumpur dan bahagian tengah Pahang dinasihatkan melalui Lebuh Raya Pantai Timur dan masuk ke Terengganu melalui Kemaman sama ada melalui Jalan FT 14 (Jalan Jerangau/Jabor).

Mereka juga boleh menggunakan Jalan FT 3 (Cukai/Dungun/Kuala Terengganu).

Pengguna-pengguna dari bahagian utara Semenanjung dinasihatkan supaya masuk ke Terengganu melalui daerah Besut iaitu FT 3 (Pasir Puteh/Jerteh/Kuala Terengganu).


Seorang nelayan berusia 53 tahun dari Kuala Besut, Terengganu menjadi mangsa terbaru akibat dijangkiti demam denggi pada minggu pertama tahun 2011.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan berkata mangsa yang mengalami demam, sakit kepala dan badan pada 27 Dis lepas mendapat rawatan di klinik terdekat tiga hari kemudian.

“Pada 31 Dis, pesakit dimasukkan ke Hospital Besut dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah keesokannya kerana mengalami komplikasi pendarahan. “Keadaannya bertambah tenat sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 3 Jan dan meninggal dunia keesokannya kerana ”Dengue Shock Syndrome”,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan di kawasan kediaman mangsa mendapati ia merupakan lokasi wabak berikutan anak mangsa yang berusia 13 tahun turut dimasukkan ke hospital akibat demam denggi.

Dr Mohd Ismail berkata, pemeriksaan yang dijalankan turut menemui tempat pembiakan Aedes di dua daripada 48 rumah, iaitu pada sinki terpakai dan bekas botol minyak.

“Kedua-dua pemilik premis ini telah dikenakan kompaun maksimum RM500 dan semburan kabus telah dijalankan terhadap kesemua 48 premis kediaman terbabit, serta penduduk mengadakan gotong-royong pada Sabtu lepas,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata jumlah demam denggi meningkat sebanyak 34 kes atau tujuh peratus berbanding 487 kes pada minggu sebelumnya, dan terdapat sepuluh negeri menunjukkan peningkatan pada minggu lalu.

Sementara itu, bilangan kes di Sarawak meningkat sebanyak 17, Melaka (11), Kelantan dan Pahang (7), Kedah (6), Pulau Pinang (5), Terengganu (4), Negeri Sembilan (2) serta masing-masing satu kes di Perlis dan Labuan.

Beliau berkata sejumlah 107 lokaliti wabak dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu, lima lokaliti kawasan panas dikenal pasti minggu lepas membabitkan 61 kes demam denggi.

“Tiga atau 60 peratus daripada lima lokaliti kawasan panas ini masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi, iaitu di Kampung Melayu Batu 16, Rawang, Selangor; Kampung Baru Sungai Terentang, Selangor dan Taman Miharja, Cheras, Selangor,” katanya.

Beliau berkata, hanya satu atau 20 peratus daripada lima lokaliti kawasan panas itu didapati menjalankan aktiviti gotong-royong dan ia perlu ditingkatkan di negeri yang mengalami banjir iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bagi Chikungunya, Dr Mohd Ismail berkata, situasi penyakit itu diharap akan terus berkurangan pada tahun ini berikutan tiada kes dilaporkan sejak tiga minggu lepas, termasuk minggu pertama.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian melaksanakan beberapa inisiatif baru dengan tumpuan utama di kawasan Lembah Klang, termasuk memasang iklan pencegahan pada 30 bas, membina 50 unit papan iklan di sekolah dalam kawasan panas dan memperkenalkan perkhidmatan lori bergerak ke kawasan itu bagi aktiviti penyampaian maklumat kepada komuniti.

Katanya, langkah pencegahan melalui penghapusan tempat pembiakan Aedes dengan meluangkan masa 10 minit seminggu, mampu mengurangkan jangkitan dan kematian akibat demam denggi.


Pemain berasal Terengganu terima satu lot tanah dan wang tunai RM5,000 dari Kerajaan Terengganu, malam kelmarin

Enam pemain bola sepak anak jati Terengganu yang membantu Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, menerima anugerah daripada Kerajaan Negeri malam Isnin.

Anugerah yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said itu berbentuk satu lot tanah dan wang tunai RM5,000 seorang.

Pemain-pemain berkenaan ialah Mohd Sarbini Alawee Ramli, Mohd Ashaari Shamsuddin, Mohd Muslim Ahmad, Izzat Faris Ramlan, Mohd Faizal Mohamad dan Norshahrul Idlan Talaha.

Ahmad Said berkata kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen kepada atlet dan berharap lebih ramai lagi anak jati Terengganu berjaya pada masa akan datang.

Beliau turut menasihati para pemain yang akan mewakili Terengganu dalam pertandingan Liga Malaysia supaya lebih berdisiplin dan tidak bersikap mudah berpuas hati dengan pencapaian mereka untuk memastikan negeri itu mampu muncul sebagai satu kuasa baru dalam sukan bola sepak.

Pasukan Terengganu dan pasukan T-Team akan mewakili Terengganu musim ini.

Ahmad Said berkata antara langkah yang boleh diambil termasuk memperkenalkan sistem potong elaun atau gaji terhadap pemain-pemain yang ponteng latihan atau sengaja mencari masalah sewaktu perlawanan sehingga dilayangkan kad merah atau kuning.

Beliau turut melahirkan harapan untuk melihat kedua-dua pasukan Terengganu itu membawa pulang satu daripada piala dipertandingkan bagi mengakhiri penantian lebih 10 tahun untuk menjadi juara.


Empat balai polis di Terengganu memenangi anugerah Liga Balai Polis peringkat kebangsaan setelah cemerlang dalam penurunan kadar jenayah dan hubungan dengan masyarakat setempat.

Balai berkenaan adalah Balai Polis Chendering, Balai Polis Chukai, Balai Polis Cabang Tiga dan Balai Polis Manir.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata kemenangan itu seharusnya menjadi contoh kepada balai-balai lain di negeri ini untuk meningkatkan kecemerlangan.

“Saya terharu dengan kejayaan yang ditunjukkan oleh anggota di balai-balai dalam menjalankan tugas mereka. Kejayaan ini juga sebagai asas kejayaan untuk memulakan tahun baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 294 anggota polis Terengganu serta 175 anggota balai yang memenangi anugerah Liga Balai Polis di Kuala Terengganu, semalam.

Jamshah berkata anugerah Liga Balai Polis yang dinilai oleh Bahagian Lembaga Penilaian Bukit Aman, bukan sahaja daripada segi kejayaan penurunan kadar jenayah di kawasan mereka, tetapi melalui temubual dengan masyarakat setempat.

“Itu satu penilaian yang bermakna. Ini kerana kalau kita sendiri yang cakap kita bagus, itu tidak bermakna, tetapi kalau orang luar sendiri yang cakap kita bagus, itu satu kenyataanlah,” katanya.

Empat balai polis dari Terengganu itu merupakan antara 15 buah balai polis di seluruh negara yang memenangi kelima-lima kategori yang dipertandingkan itu.


Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu menyerbu sebuah premis pembungkusan minyak masak yang dipercayai beroperasi tanpa lesen yang sah di Kampung Padang Lebam, Bukit Payong semalam.

Pemangku Pengarah KPDNKK negeri, Abd Ghani Harun berkata dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, sebanyak 4000 kilogram minyak masak bernilai RM10,000 turut dirampas.

“Kita sedang membuat siasatan dari mana bekalan minyak masak ini diperolehi, sedangkan pemborong ini tidak mempunyai satu lesen yang sah,” katanya kepada selepas mengetuai operasi tersebut, di Kuala Terengganu.

Operasi itu disertai kira-kira 10 pegawai dan anggota KPDNKK Terengganu.

Abd Ghani berkata pemborong berkenaan dipercayai telah melakukan aktiviti itu lebih setahun.

Katanya premis tersebut turut disita bagi membolehkan siasatan lanjut dan pemborong berkenaan akan didakwa di mahkamah di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000.

Abd Ghani berkata secara umumnya Terengganu tidak menghadapi masalah bekalan minyak masak, dan bekalan sedia ada dijamin mencukupi.

Terengganu, katanya diberikan kuota sebanyak 1,800 tan metrik sebulan bagi menampung keperluan pengguna di negeri itu.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: