Archive for December, 2010



Kepulangan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pagi esok dinanti-nantikan oleh pemimpin dan rakyat negeri ini selepas diumumkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang baru, Isnin lalu.

Ahmad Said berada di luar negara sejak seminggu lalu dan kalangan pemimpin UMNO difahamkan tidak sabar-sabar untuk menyambut kepulangan beliau.

Bagaimanapun difahamkan tiada sambutan besar-besaran diadakan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu pagi esok kerana perlantikan itu dianggap sebagai ‘amanah’ bukan sebagai ‘kemenangan’.

Sepatutnya Ahmad Said akan memulakan tugas segera di pejabat pada Ahad. Bagaimanapun kerana Terengganu bercuti pada Ahad, beliau dijangka akan memulakan tugas rasmi pada Isnin.

Beberapa pemimpin politik di negeri ini menyatakan kegembiraan dengan pelantikan itu disebalik menganggapnya sebagai tanggungjawab besar sedang menanti Ahmad Said.

Ahmad Said dijangka akan menemui pemimpin UMNO negeri dalam masa terdekat.

Spekulasi mula bertiup kencang bahawa Ahmad Said akan menukar struktur pentadbiran UMNO negeri, bagaimanapun sehingga ini Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang akan memulakan tugas mulai esok (1 Januari 2011) belum membuat sebarang kenyataan.

Ketika ini Ketua Bahagian UMNO Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang adalah Setiausaha, Datuk Ahmad Shabery Cheek (Ketua Penerangan) dan Datuk Rahin Mohd Said sebagai Bendahari.

Ahmad Said dibantu oleh Ketua Bahagian Marang, Yahya Khatib Mohamad.

Kelmarin Ahmad Said melahirkan ucapan amat berterima kasih kepada Presiden dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi kerana memberi kepercayaan untuk memimpin UMNO Terengganu.

“Saya dan rakan rakan dalam parti akan memberi tumpuan untuk terus memperkasakan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan mempastikan kemenangan besar bagi Barisan Nasional,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar.

Katanya, tugas utama beliau juga adalah untuk memastikan rakyat terus memberi kepercayaan dan bersama UMNO, terutama generasi muda, kerana golongan ini perlu diajak menghayati sejarah perjuangan UMNO, iaitu untuk Agama,Bangsa dan Negara.

Kalangan pendokong UMNO di negeri ini dikatakan amat mengalu-alukan pelantikan ‘anak negeri’ ini sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu sebagaimana yang banyak dizahirkan melalui usul-usul dalam mesyuarat UMNO cawangan baru-baru ini.

Ahmad Said menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang melepaskan jawatan itu selepas mentadbir UMNO Terengganu hampir dua tahun.


Dr A. Rahman Mohktar (kanan) bersama Wan Kamal Wan Ismail (kiri) menziarahi Faridah Mamat yang terlantar di rumahnya di Kampung Kuala Ibai Pantai, kelmarin

Kerajaan negeri akan menanggung kos penyediaan susu dan keperluan bagi seorang pesakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) yang koma di rumahnya di Kampung Kuala Ibai Pantai dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A. Rahman Mohktar memberitahu, bantuan itu untuk meringankan beban keluarga Faridah Mamat, 23, yang memerlukan RM3000 sebulan bagi menampung keperluannya.

”Jabatan Kesihatan negeri akan turut membantu Faridah dengan memantau keadaannya dari semasa ke semasa,” katanya ketika menziarahi pesakit itu semalam.

Turut hadir Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Wan Kamal Wan Ismail dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah Hassan.

Faridah, seorang suri rumah dan isteri kepada seorang pekerja di kedai pengiklanan di sini menghidap penyakit SLE sehingga mengalami gangguan saraf otak yang menyebabkannya koma sejak empat bulan lalu.

Dia yang melangsungkan perkahwinan Jun lalu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tiga bulan kemudian.

Namun selepas lebih sebulan, keadaannya tidak menunjukkan sebarang kemajuan dan keluarga akhirnya memohon kebenaran membawanya pulang.

A. Rahman berkata, kerajaan mempunyai peruntukan khusus melalui Tabung Darul Iman bagi membiayai kos rawatan penduduk tempatan yang menghidap sakit kronik.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Wan Kamal kerana telah mengambil langkah awal menghulurkan bantuan peribadi termasuk menyediakan katil khusus untuk pesakit.


Suzana Mohamed Salleh dan suami Badrul Hisham Zaki sentiasa membuat pemantauan bagi menjamin produk keluaran 'Ziq Bakery & Cake' di Kuala Terengganu memenuhi piawaian yang ditetapkan

Bermula dengan usaha kecil-kecilan secara bermusim khususnya ketika perayaan, hasil tangannya dari rumah menjadi buah mulut pelanggan.

Promosi lisan tentang kepuasan pelanggan terhadap keenakan rasa roti dan kek dengan harga setimpal beransur-ansur meningkatkan permintaan terhadap produknya saban tahun.

Menyedari potensi yang ada dan berbekalkan pengalaman yang diwarisi daripada keluarga, Suzana Mohamed Salleh, 36, mula berani mengorak langkah lebih jauh empat tahun kemudian.

Dengan menyewa sebuah rumah dua tingkat di Kampung Gong Pak Maseh, dekat sini, wanita itu menjadikan premis itu pusat pengeluaran dan penginapan bagi pekerjanya.

Pada 2004, ibu kepada empat anak itu memperkayakan ilmu pembuatan makanan dengan mengikuti kursus jangka pendek di Malaysian Institute of Bakery (MIB) selama dua bulan.

”Saya kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat diploma dalam bidang Baking Science and Technology di institusi sama selama dua tahun,” ujarnya.

Melihat akan keadaan pasaran kek, pastri dan bakeri tempatan yang banyak dimonopoli oleh bukan Islam, beliau membuka sebuah kedai berkonsep moden menggunakan jenama ‘Ziq Bakery & Cake’ (Ziq) dua tahun kemudian di Gong Kapas dekat Kuala Terengganu.

Selaku pengurus perniagaan itu, Suzana sebagai peniaga Islam berusaha memenuhi tuntutan agama yang meletakkan satu kewajipan menyediakan makanan suci, bersih dan halal kepada pelanggannya.

Pada Ogos 2008, perusahaan itu menjadi perniagaan perkongsian bersama suaminya, Badrul Hisham Zaki, 41, yang juga Pengarah Urusan di syarikat berkenaan.

Menurut Badrul Hisham, perniagaan mereka berkonsepkan ‘dapur terbuka’ yang membolehkan pelanggan melihat sendiri proses penyediaan produk yang hendak dibeli melalui jendela kaca.

“Ini akan memberi kepuasan dan keyakinan kepada pelanggan kerana mereka dapat melihat tahap kebersihan dalam proses pembuatan dan menilai kesucian produk yang dihasilkan.

“Maka lahirlah moto ‘Bersih, Suci, Yakin’ untuk Ziq dalam menghasilkan lebih 200 jenis kek, roti dan pastri pada hari ini,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Katanya, Anugerah Kilang Produk Halal Terbaik yang diterimanya pada Sambutan Maal Hijrah 1432 peringkat negeri baru-baru ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi lebih kepada satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat Islam.

“Ziq akan terus komited menjadikan perniagaan yang dimonopoli sepenuhnya bukan Islam sebagai satu industri makanan ala barat yang mampu menyediakan juadah ‘Halalan Toyyiban’ yang bersih suci dan diyakini,” katanya.

Dengan 80 kakitangan dan kilang pengeluaran di Kawasan Perindustrian Chendering dekat sini, Ziq kini mempunyai lima buah cawangan di daerah ini iaitu Gong Kapas, Mydin Mall, Plaza Paya Keladi, Chendering dan Perpustakaan Awam Terengganu.

”Kami juga mula melebarkan sayap ke luar negeri ini dengan pembukaan outlet di Mydin Mall, Melaka,” jelasnya.

Menurutnya, Ziq turut mendapat kepercayaan daripada agensi kerajaan untuk mengendalikan pelbagai kursus masakan kepada golongan sasaran seperti ibu tunggal dan usahawan kecil tempatan.

“Usahasama Ziq dengan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) antara lain bertujuan memberi bimbingan dalam soal pembuatan produk yang baik serta prospek semasa perniagaan ini,” jelasnya.


"Kita percaya, Ahmad Said mempunyai ciri-ciri kepemimpinan mulia seperti terbuka, tiada dendam dan sedia dikritik atau mendengar pandangan positif dari rakan-rakan seperjuangan. Slogan, falsafah dan prinsip ‘Merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ hendaknya terus dijulang dan dikotakan olehnya."

Pelantikan semula Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT) oleh Presiden Umno, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebenarnya merupakan perlantikan yang mengambilkira kehendak bawahan, selaras dengan pendekatan yang sentiasa diamalkan di bawah kepemimpinan Najib.

Banyak cawangan-cawangan Umno di Terengganu sejak dua tahun yang lalu membuat usul dalam mesyuarat agung Umno cawangan masing-masing berkaitan perkara itu. Walaupun disebut di dalam usul berkenaan supaya jawatan tertinggi Umno Terengganu diserahkan kepada anak Terengganu, tetapi sebenarnya bermaksud diserahkan kepada Menteri Besar mereka sebagaimana tradisi.

Bukan hasrat mereka untuk tidak menerima Naib Presiden Umno, Datuk Sri Hishamuddin Tun Hussien, tetapi mereka merasakan imej Umno Terengganu tercalar, seolah-olahnya orang Terengganu tidak mampu mengendalikan sendiri Umno Terengganu kalau selama-lamanya demikian.

Pemimpin dan ahli Umno Terengganu seharusnya berterima kasih kepada Hishamuddin yang telah sudi menerajui seketika Umno Terengganu dan sudi pula menyerahkannya bila sudah merasakan sampai masanya berbuat demikian.

Ini adalah janji beliau sewaktu mula-mula dilantik dahulu, bahawa beliau memimpin untuk sementara waktu dan akan menyerahkan kembali kepada orang Terengganu bila tiba waktunya.

Secara hakikatnya, ahli-ahli Umno Terengganu berasa rendah diri jika berterusan Umno Terengganu dipimpin oleh bukan orang Terengganu, betapa tidak layaknya mereka untuk mengurus rumahtangga sendiri. Secara psikologinya pembangkang telah menang dalam pertarungan ini, apabila perasaan ‘rendah diri’ itu mengalir dalam diri ahl-ahli Umno.

Kalaulah tidak mampu menguruskan sendiri Umno di negeri mereka, bagaimana mungkin untuk berdepan dengan lawan?

Justeru itu, pelantikan Ahmad Said telah memulihkan semula semangat dan membuang perasaan yang dinyatakan tadi. Walaupun ada segelintir yang mungkin kurang bersetuju dengan perlantikan terbaru itu, ia adalah perkara biasa dalam kita membuat sesuatu keputusan; namun kita yakin Ahmad Said sebagai wakil rakyat yang paling senior (sejak 1990) iaitu di zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad lagi, boleh menanganinya.

Pemimpin dan ahli politik yang berjiwa besar pastinya akan menerima keputusan dan ketentuan dengan reda dan positif. Kalau tidak, mereka bukanlah pemimpin yang boleh dianggap hebat; apatah lagi kalau ada sifat kecewa, dendam dan iri hati.

Sebagai Ketua Umno Bahagian Kemaman, Ahmad Said pernah mencipta rekod cemerlangan, apabila bahagian itu pernah muncul sebagai Bahagian yang paling ramai keahlian semasa kempen menambah ahli Umno dijalankan di peringkat pusat.

Beliau diharapkan dapat memacu pembangunan negeri untuk rakyat dengan lebih yakin apabila parti pemerintah negeri dan kerajaan negeri berada dalam keadaan yang seiring dan sejalan sebagaimana Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) orang yang sama.

Kita percaya, Ahmad Said mempunyai ciri-ciri kepemimpinan mulia seperti terbuka, tiada dendam dan sedia dikritik atau mendengar pandangan positif dari rakan-rakan seperjuangan. Slogan, falsafah dan prinsip ‘Merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ hendaknya terus dijulang dan dikotakan olehnya.

P/S : Terima kasih Najib atas lantikan semula Ahmad Said atau anak Terengganu untuk menerajui dan menakhodai Umno Terengganu.


Pelanggan berpeluang memilih ikan hidup yang dijual pada harga murah di kedai Trendi Fresh milik TADC di Chendering

Terengganu Agrotech Development Corp Sdn. Bhd. (TADC) bakal membuka outlet menggunakan jenama ‘Trendi Fresh’ bagi memasarkan hasil produk syarikat itu dengan lebih meluas kepada umum.

Penolong Pegawai Pemasaran TADC, Mustafa Kamal Daud berkata, outlet pertama itu bakal dilancarkan tengah hari esok di Bangunan Kedai, Taman Permint Jaya Fasa IV, Chendering dekat sini.

Katanya, buat permulaan ia menumpukan pemasaran hasil perikanan daripada projek akuakultur yang diusaha merangkumi beberapa jenis ikan sungai.

Menurut beliau, outlet baru yang terletak di Chendering itu akan memudahkan pelanggan untuk melihat dan membeli hasil ternakan berkenaan yang dijual secara segar.

“Sebelum ini, kita menjual menggunakan jenama TADC dan pelanggan perlu ke pusat ternakan namun dengan pelancaran outlet ini, produk keluaran TADC akan menjadi lebih popular dan diyakini.

“Antara jenis ikan yang dijual di sini terdiri daripada patin, keli, siakap serta talapia merah dan hitam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

TADC adalah anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang mula berfungsi pada 2006.

Kegiatan utamanya adalah mengurus dan melaksanakan program berasaskan pertanian, perikanan, ternakan, pemasaran hasil dan barangan pertanian serta aktiviti yang berkaitan dengannya.

Pada pelancaran outlet perintis dengan pengenalan jenama baru itu, TADC turut mengadakan promosi jualan murah ke atas beberapa jenis ikan seperti talapia RM7.50 sekilogram, siakap RM12, patin RM3.90 berbanding RM7 dan keli RM4.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan pelancaran tersebut selain berpeluang membeli ikan segar dengan harga murah bermula pukul 3 hingga 6 petang.

EMPAT PERKARA BAIK DAN TERLEBIH BAIK


Rasulullah SAW bersabda, ada empat perkara yang dipandang baik tetapi terlebih baik :

1 – Sifat malu pada lelaki adalah baik, tetapi terbaik jika sifat tersebut terdapat pada wanita.

2 – Keadilan adalah sifat yang baik pada setiap orang, tetapi sifat tersebut terlebih baik jika terdapat pada seorang pemimpin.

3 – Taubat seorang yang sudah tua adalah baik, tetapi taubat seorang pemuda adalah terlebih baik.

4 – Derma dari seorang jutawan adalah baik, tetapi terlebih baik jika derma adalah dari seorang yang fakir.

Sumber : 1001 Feqh Nasihah – MS : 20


1 – Menyanyi ketika musim perayaan sekadar di lengkapi alat-alat muzik seperti rebana, kompang dan lain-lain kelengkapan yang tidak menimbulkan kelalaian.

2 – Nyanyian sebagai tanda pengistiharan pernikahan.

3 – Lirik-lirik yang berunsurkan Islam dan patriotik.

4 – Lirik-lirik yang mengajak kepada menyintai Allah SWT, Rasulullah SAW dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW atau bertasbih kepada Allah SWt serta meniupkan semangat jihad.

5 – Lagu-lagu nasyid yang diiringi rebana dan kerincing sempena pernikahan yang dikhususkan kepada kaum wanita dan kanak-kanak sahaja.

Sumber : Kitab Penawar Hati Dan Penenang Jiwa – MS : 379-386

HARGA SANTAN NAIK LAGI


Kelapa dikatakan berkurangan di Terengganu yang banyak mempunyai pokok kelapa, menyebabkan harga santan segar kini meningkat pada harga RM9 sekilo berbanding RM6 sekilo bulan lalu.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu, Hasan Jusoh berkata antara punca kekurangan kelapa ialah pekebun lebih banyak menjual kelapa muda kerana harganya lebih tinggi.

Beliau berkata harga runcit kelapa muda sekarang ialah RM2.50 sebiji sementara di peringkat ladang antara RM1.00 hingga RM1.50 sebiji.

Harga kelapa tua ialah 70 sen sebiji.

Beliau berkata kekurangan kelapa turut berlaku di negeri lain.

“Sehubungan kekurangan ini, kami sedang cuba mendapatkan bekalan kelapa dari pengimport untuk mengatasi masalah yang dihadapi,” katanya.


UMNO Bahagian Kuala Nerus akan memutuskan lokasi pusat pentadbiran bagi daerah baru yang dicadang dalam mesyuaratnya bulan depan.

Ketua Penerangannya, Muhammad Ramli Nuh berkata, keputusan itu kelak akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk proses kelulusan sebelum dibawa ke peringkat kementerian dan Kabinet.

‘‘Dalam taklimat oleh pihak perunding yang dilantik kerajaan negeri, tiga cadangan tapak dikemukakan iaitu di sekitar Gemuruh, Wakaf Tengah dan Mengabang Bakong.

‘‘Namun berasaskan lokasi itu, Gemuroh dan Wakaf Tengah berada pada kedudukan di tengah-tengah kawasan Kuala Nerus yang bakal menjadi daerah baru.

‘‘Kedua-duanya pula masih mempunyai banyak kawasan tanah terutama tanah pertanian dan bagi satu pusat pentadbiran memerlukan sekurang-kurangnya 40 hektar dan kos pengambilan balik tidak akan menjangkau begitu tinggi,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bahawa cadangan bagi pembentukan daerah baru itu masih belum dibawa untuk kelulusan kerajaan negeri.

Menteri Besar dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini berkata, ia memerlukan beberapa proses rantaian kelulusan berasaskan beberapa aspek yang perlu dipenuhi.

Katanya, kerajaan negeri cuma menanti kata putus oleh kepimpinan setempat berhubung kawasan mana yang akan dijadikan sebagai pusat pentadbiran.

Kuala Nerus yang terletak di kawasan Kuala Terengganu Utara membangun dengan pesat dengan kedudukannya sebagai tapak institusi pengajian tinggi dan institut kemahiran serta industri di samping wujudnya banyak projek perumahan.

Menurut Muhammad Ramli, jumlah penduduk di kawasan itu lebih ramai berbanding penduduk di beberapa daerah lain di negeri ini.

‘‘Sekarang ini pentadbiran daerah Kuala Terengganu merangkumi 12 kawasan Dewan Undangan Negeri dan empat kawasan Parlimen.

‘‘Ia tentunya menyukarkan tumpuan seimbang oleh pihak pentadbiran bagi memenuhi keperluan dan mengatasi masalah-masalah yang timbul,” ujarnya.

Katanya, pada awalnya pihak kepimpinan setempat menyasarkan kerajaan negeri dapat mengisytiharkan Kuala Nerus sebagai daerah kelapan bagi negeri ini pada awal tahun depan.


Bekas Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner 1, Datuk Mohd Shukri Dahlan mengunjungi Menteri Besar baru-baru ini

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner 1 Datuk Mohd Shukri Dahlan dijadualkan menyerahkan jawatan kepada Senior Asisten Komisioner 1 Datuk Jamshah Mustafa daripada Unit Pengurusan dan Latihan Persekutuan, Bukit Aman berkuatkuasa hari ini (27 Disember 2010).

Beliau akan bertugas di Perak sebagai Ketua Polis negeri itu yang baru.

Mohd Shukri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Terengganu yang memberi sokongan sepanjang menjalankan tugas di Terengganu.

Beliau memuji langkah kerajaan negeri yang telah melancarkan kelab permotoran Terengganu sehingga telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada belia Terengganu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd.Najib di Stadium Tertutup Gong Badak.

“Kerajaan negeri menerima baik pandangan serta memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melahirkan remaja Terengganu bebas daripada gejala sosial yang tidak bermoral,” katanya kepada media Rabu lalu (22 Dis 2010).

Pada satu majlis di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu baru-baru ini, beliau melahirkan rasa gembira apabila empat buah balai polis di Terengganu menerima anugerah ‘Big League Table’ kelolaan Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Balai Polis Manir, Cabang Tiga dan Chendering mendahului senarai bagi Kuala Terengganu serta Balai Polis Chukai dari daerah Kemaman. “Big League Table menjadi pengukur kecemerlangan anggota polis dalam menjalankan tugas,” katanya lagi.

Beliau berharap balai polis baru akan dibina di Manir bagi menggantikan balai polis sedia ada.